RM50j untuk GiatMara selenggara tahfiz

KANGAR – Peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Pusat GiatMara bagi membaik pulih serta menyelenggara sistem pendawaian di semua sekolah tahfiz berdaftar di seluruh negara, merupakan satu langkah sangat bermakna dalam memperkasa institusi berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, berbanding sebelum ini, kerajaan sering menyalurkan bantuan secara ‘one-off ‘ kepada sekolah-sekolah tahfiz, namun didapati tidak digunakan sepenuhnya untuk menaik taraf prasarana dan infrastruktur terutama melibatkan aspek keselamatan.

“Saya melihat pendekatan perdana menteri (dalam Bajet 2018) berbeza dalam konteks memperkasa sekolah tahfiz.

“Apabila perdana menteri umum peruntukan RM50 juta dalam konteks beri keutamaan perkasa aspek keselamatan, langkah ini lebih positif dan bermakna dalam suasana masyarakat kini begitu bersungguh mahu hantar anak mereka ke sekolah tahfiz,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Apresiasi Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) dan Tadika Islam Peringkat Perlis di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2018 pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan akan memperkenal Skim Latihan Kemahiran GiatMara bagi menjadikan pelajar sekolah tahfiz lebih berkemahiran.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi sekali lagi mengingatkan kepada semua pentadbir sekolah tahfiz agar berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri masing-masing bagi memudahkan urusan penyaluran dana.

Beliau berkata langkah itu sangat penting bagi memastikan setiap sekolah tahfiz berkenaan memenuhi kriteria seperti mempunyai pelajar, guru terlatih serta penyediaan prasarana yang benar-benar bersedia menampung keperluan pelajar dalam segala aspek.

“Kerajaan tidak mahu tentukan atau sekat mereka (pentadbir sekolah tahfiz), cuma hendak pastikan penyaluran dana untuk bantu naik taraf sekolah sampai kepada mereka. Kerajaan amat prihatin, ambil berat keselamatan rakyat, itu yang penting bukan nak kaut keuntungan melalui institusi tahfiz,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata mana-mana pihak tidak seharusnya mempertikai jumlah peruntukan diperoleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebanyak RM810.9 juta dalam Bajet 2018, berbanding RM744.95 juta tahun ini.

“Jangan pertikai peruntukan besar untuk Jakim kerana lebih separuh peruntukan Jakim untuk bayar elaun imam, bilal, guru KAFA, guru takmir dan tok siak di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata setelah menerima peruntukan berkenaan daripada kerajaan, Jakim akan mengagihkan kepada negeri-negeri agar dapat dimanfaatkan semua pihak berkaitan.

Seperti termaktub dalam Perlembagaan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan, beliau berkata hal itu tidak perlu dipertikai kerana hak-hak agama lain tidak dinafikan dan ia teras kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/rm50j-untuk-giatmara-selenggara-tahfiz-1.751540

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.