MARA komited memperkasa Bahasa Kebangsaan

IMG_7109

Oleh Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

media@mara.gov.my

Trolak, 26 Oktober: Komitmen Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam memartabatkan Bahasa Malaysia terbukti apabila diberikan kepercayaan untuk menjadi urus setia bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan bagi Sektor Pendidikan pada tahun ini.

Menurut Ahli Majlis MARA, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam Bin Md Yassin, Bahasa Malaysia bukan setakat sudah mantap, kukuh, dan maju, malah turut berkembang yang mana beratus ribu istilah dalam lebih 400 bidang dan sub-bidang ilmu yang dimantapkan dalam lebih 5,000 buah buku.

“Pelbagai usaha dijalankan oleh pihak berkuasa dalam memartabatkan Bahasa Malaysia yang mana bermula dengan kempen ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’ pada tahun 1962 di Padang Kelab Melaka, diikuti dengan pelbagai program yang semuanya mempunyai matlamat yang sama,” kata beliau.

Abu Azam turut berkata, pada peringkat Sektor Pendidikan MARA, beberapa aktiviti telah dijalankan seperti Bengkel Penulisan Kreatif, Ceramah ‘Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul’, Sayembara Puisi dan Syarahan Umum Dasar Memperkukuh Bahasa Kebangsaan yang mana aktiviti turut diadakan di premis-premis pendidikan sepanjang bulan September hingga November ini dan akan diteruskan sepanjang tahun melalui pelbagai aktiviti untuk terus memperingatkan kita bahawa bahasa Kebangsaan perlu berada di aras yang sepatutnya.

“Harapan kita adalah bagi generasi masa hadapan yang berpendidikan berupaya untuk mencipta istilah Bahasa Melayu dalam apa-apa jua bidang sama ada dalam bidang sains teknologi, perundangan, perubatan mahupun kewangan yang mempunyai nilai komersialnya dan estetika tersendiri,” ulas beliau.

Tambah beliau lagi, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan ini merupakan satu pendekatan yang signifikan untuk terus menyemarakkan rasa kecintaan dan kemegahan rakyat Malaysia khususnya golongan muda terhadap bahasa kebangsaan, yang mana kerajaan akan sentiasa menyokong penggunaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa demi menjayakan matlamat Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.

 

“Dalam dunia globalisasi kini, semua pihak mestilah mengambil inisiatif untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan kita. Sebagai contoh, institusi pendidikan perlu mempelbagaikan dan memperkasakan aktiviti dan program kebahasaan agar pelajar kita bukan hanya cemerlang dalam akademik tetapi cemerlang dalam penguasaan bahasanya. Malah, MARA turut memandang serius terhadap usaha-usaha memartabatkan bahasa kebangsaan ini di Institusi-institusi Pendidikan MARA (IPMa) di seluruh negara,” ujarnya

Di dalam majlis tersebut, turut diadakan penyampaian Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2017 kepada Prof. Dr. Nik Hazlina Binti Nik Hussain, Pensyarah Perubatan dan Pakar Perunding Kanan Perbidanan dan Sakit Puan dari Universiti Sains Malaysia.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.