1,057 graduan KUPTM tamat pengajian

PUTRAJAYA – Seramai 1,057 graduan Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) Kuala Lumpur berjaya menamatkan pengajian dengan pelbagai kategori penganugerahan termasuk program diploma dan professional.

Kesemua graduan yang berjaya ini diraikan dalam sesi pengurniaan diploma dan sijil profesional bagi Sidang 1 KUPTM Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur Ke-2 yang berlangsung pada semalam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, KUPTM optimis dalam meraikan graduan cemerlang yang holistik tidak hanya dalam aspek akademik, sebaliknya berketrampilan dan berdaya saing untuk pasaran industri kelak terutama peningkatan kebolehpasaran graduan yang menjadi pilihan para majikan.

“Kejayaan yang dicapai hasil daripada usaha dan semangat yang kental, dididik oleh para pensyarah melalui sistem pendidikan yang holistik, memberi fokus seimbang antara pembangunan potensi diri dalam akademik dan kokurikulum.

“KKLW amat komited dalam memastikan masa depan generasi muda terjamin. Menyedari bahawa lebih banyak usaha dan inisiatif yang perlu dilaksanakan supaya kita lebih maju dalam era yang serba mencabar ini, maka slogan membandarkan luar bandar akan diperhebatkan bagi memastikan kesamarataan dalam pendidikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sempena Konvokesyen kali ini, dari jumlah tersebut seramai 135 orang bakal graduan telah terpilih untuk menerima Anugerah Kecemerlangan Pelajar bagi tiga kategori iaitu Anugerah Berlian (1 orang), Anugerah Nilam Baiduri (6 orang), dan Anugerah Naib Canselor (128 orang).

Seorang graduan jurusan Diploma in Accounting and Finance, Noor Atikah Mat Nawi telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Berlian yang merupakan anugerah tertinggi Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) Kuala Lumpur atas kecemerlangan beliau dalam pengajiannya.

Selama pengajiannya di KUPTMKL, Noor Atikah merupakan seorang pelajar yang sangat aktif dalam pelbagai bidang yang dianjurkan oleh kolej antaranya seperti keusahawanan, sukan dan permainan serta berwibawa sebagai pemimpin.

Beliau juga merupakan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dibawah program Skim Pelajar Cemerlang (SPC) dan kini sedang melanjutkan pengajian Bachelor in Commerce (Accounting) di University of Queensland, Australia.

“Walaupun saya sentiasa bergiat aktif dalam aktiviti yang dianjurkan oleh kolej seperti aktiviti kemasyarakatan, menjadi fasilitator dalam Minggu Mesra Siswa, menyertai aktiviti kesukanan dan pelbagai pertandingan di peringkat kolej dan kolej, namun tanggungjawab sebagai pelajar tidak pernah dilupakan dan terabai.

“Saya akan memastikan pembahagian antara pelajaran dan kokurikulum dengan betul dan alhamdulillah saya dapat mengekalkan prestasi cemerlang sepanjang pengajian di sini,” katanya.

Noor Atikah merupakan penerima anugerah dekan pada setiap semester sepanjang pengajiannya dengan memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif 3.95.

 

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/1-057-graduan-kuptm-tamat-pengajian-1.749332

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.