KUANTAN: Pembukaan MARA Digital di Plaza Gambut di sini, membuka peluang kepada pengusaha Bumiputera meluaskan perniagaan produk berasaskan telekomunikasi, digital dan teknologi maklumat (IT).
Inisiatif Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu bukan sahaja membuka jalan kepada pengusaha, malah memudahkan orang ramai khususnya mendapatkan barangan seperti telefon pintar dan aksesorinya dengan harga berpatutan, berkualiti dan tulen.
Pemilik KVK Gadjet, Raja Zulkarnain Raja Hussain,33, berkata tawaran diberikan MARA itu adalah kesempatan terbaik bagi dirinya memperluaskan lagi perniagaanya yang sudah satu tahun dijalankan di daerah ini.
“Saya memang mencari tapak untuk menambah cawangan dan pada masa sama MARA memberikan tawaran untuk berniaga di MARA Digital disini, sudah tentu ia peluang ini tidak harus dilepaskan.
“Kami menerima pelbagai bentuk bantuan seperti pengecualian pembayaran sewa untuk tempoh enam bulan, saya yakin pembukaan MARA Digital mampu membantu usahawan Bumiputera supaya lebih maju,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian MARA Digital@Kuantan di sini, hari ini.
Premis menempatkan 18 peniaga itu disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sementara itu, Pengusaha East Coast Mobile (ECM), Adi Din Hussain, berkata penubuhan pusat jualan berkenaan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat di daerah ini terutama golongan muda.
“Lokasinya yang strategik diyakini dapat membantu peniaga meningkatkan jualan di samping promosi serta strategi pemasaran betul,” katanya.
Penjawat awam, Nor Emiliana Abdul Rashid, 33, berkata pembukaan Digital MARA di daerah ini memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai untuk mendapatkan gajet dan aksesori telefon bimbit dengan harga berpatutan.
“Selain itu, pelanggan juga dapat membuat perbandingan harga dan yakin dengan produk dijual di sini memandangkan hanya barang tulen sahaja dijual,” katanya.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/343716/mara-digital-tarikan-baharu-di-kuantan