Dua lagi MARA Digital dibuka tahun depan

KUANTAN: Dua lagi pusat jualan gajet dan peralatan teknologi maklumat (IT) milik Bumiputera, MARA Digital, akan dibuka di Larkin, Johor Bahru dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, Melaka pada tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata pembukaannya membolehkan lebih ramai usahawan Bumiputera menceburi perniagaan dalam bidang digital serta teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) yang mempunyai pasaran luas.

Katanya, sejak Disember 2015, pihaknya sudah membuka empat MARA Digital di Menara MARA, Kuala Lumpur; Anggerik Mall, Shah Alam, Selangor; Bazar Medan Jaya, Ipoh, Perak dan Plaza Gambut di sini, yang dibuka kepada orang ramai hari ini.

“Kita menyasar membukanya di setiap ibu negeri seluruh negara, selepas itu kita fokus di peringkat daerah antaranya menerusi pembukaan MARA Digital di premis milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) seperti Arked MARA yang berskala lebih kecil selain menempatkan produk usahawan desa.

“Kita bersedia bekerjasama dengan agensi atau kerajaan negeri yang mahu menyediakan premis bagi membuka MARA Digital, tetapi mereka perlu memberi kelonggaran dengan mengecualikan sewa untuk tempoh enam bulan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MARA Digital@Kuantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, setakat ini seramai 109 usahawan Bumiputera diberikan peluang berniaga menerusi empat MARA Digital dan berharap jumlahnya akan meningkat pada masa depan.

“Ia selaras hasrat kerajaan melahirkan usahawan Bumiputera dalam bidang digital dan ICT yang mempunyai pasaran besar serta menguntungkan berdasarkan pengunaan peralatan telekomunikasi seperti telefon pintar yang semakin luas.

“Berdasarkan kajian sebuah firma penyelidikan pasaran iaitu GfK, rakyat Malaysia dilaporkan berbelanja sekitar RM6.8 bilion untuk membeli telefon pintar bermula Mac 2016 sehingga Februari lalu, ia menunjukkan peningkatan berbanding RM5.4 bilion pada 2015,” katanya.

Katanya, usahawan Bumiputera terutama golongan muda perlu memanfaatkan sepenuhnya permintaan tinggi terhadap peralatan digital dan ICT kerana ia menjanjikan pulangan lumayan sekiranya diusahakan dengan strategi betul.

“Di MARA Digital Kuala Lumpur, ia mencatatkan jualan mencecah RM28.3 juta sejak dibuka pada Disember 2015 dengan menerima lebih satu juta pengunjung. Bagaimanapun, kita akui ada kemerosotan jualan di Anggerik Mall.

“Ini kerana pintu masuk jauh daripada jalan utama, namun kita yakin keadaan itu dapat diubah selepas premis berkenan ditukar menjadi Pusat Transformasi Bandar (UTC), kita juga minta promosi lebih giat dilakukan di semua MARA Digital,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/343687/dua-lagi-mara-digital-dibuka-tahun-depan

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.