Petronas bantu pembangunan infrastruktur Sabah, bina MRSM dan asrama

Musa Aman menunjukkan isyarat bagus bersama beberapa pelajar ketika merasmikan Pelancaran Projek Pembinaan MRSM Ranau.

RANAU: Kecemerlangan yang diraih murid di daerah Ranau dan kawasan sekitar dihargai Petronas menerusi pembangunan infrastruktur seperti pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau.

Perkara itu jelas Presiden dan Ketua Pegawai EKsekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin bagi membolehkan lebih ramai golongan bijak pandai di kawasan itu.

Menurutnya, idea membina MRSM Ranau itu adalah usaha menyokong Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menerusi projek perkongsian awam-swasta bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan negara.

“Ranau dipilih memandangkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di daerah itu dan kawasan sekitar sejak beberapa tahun lalu sangat memberangsangkan.

“Oleh itu, Petronas bakal membina MRSM Ranau bagi memberi peluang kepada anak-anak muda di Sabah melanjutkan pelajaran sekali gus menikmati suasana pembelajaran yang kondusif,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan MRSM Ranau di sini pada Khamis.

Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman. Projek pembinaan MRSM itu merupakan inisiatif bersama antara Petronas, Kerajaan Negeri Sabah dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Tambah Wan Zulkiflee, pembinaan MRSM Ranau yang mampu menempatkan seramai 450 pelajar dengan dilengkapi bangunan akademik, makmal sains, asrama pelajar, dewan serbaguna, kemudahan sukan, kediaman guru dan surau itu adalah sebahagian daripada keseluruhan sumbangan Petronas dalam bidang pendidikan di Sabah meliputi penyediaan program dan infrastruktur.

“Kita menjangkakan pembinaan MRSM ini memakan masa empat tahun serta akan bermula pertengahan 2018 dan siap pada tahun 2021,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan pembinaan asrama harian luar bandar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Balambangan di daerah Kudat.

Katanya, pembinaan asrama harian yang berupaya memuatkan seramai 120 pelajar itu bakal dimulakan pada Mac 2018 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2019.

Sementara itu, Musa berkata, Petronas telah memberikan banyak sumbangan kepada rakyat dan negeri Sabah.

Katanya, apa yang penting adalah kesungguhan dan iltizam anak-anak muda Sabah untuk memanfaatkan semua peluang yang telah disediakan.

“Malah, pembinaan MRSM ini dan asrama harian luar bandar di SK Pulau Balambangan akan dapat membantu anak-anak kita menimba ilmu tanpa perlu risau mengenai jarak untuk ke sekolah,” katanya.

Sumber : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/petronas-bantu-pembangunan-infrastruktur-sabah-bina-mrsm-dan-asrama-158963

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.