Pelajar IPMa Menjadi Agen Perubahan Dalam Menyampaikan Mesej Integriti

 

DJI_20171026_120300

Timbalan Ketua Persuruhjaya SPRM, YBhg. Dato’ Shamshun Baharin Bin Mohd Jamil (enam dari kanan) dan Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Azhar Bin Abdul Manaf  bersama peserta konvensyen menunjukkan isyarat “Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (GERAH)” bersempena Konvensyen Integriti Institusi Pendidikan MARA (IPMa)  2017

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff
media@mara.gov.my

Beranang, 25 Oktober 2017: Pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMa) perlu menghayati konsep integriti supaya mereka berupaya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pelajar dan seterusnya terjun ke alam pekerjaan dengan nilai amanah yang tinggi selepas tamat pengajian.

Menurut Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Bin Abdul Manaf, antara strategi bagi melahirkan modal insan yang berintegriti adalah melalui peningkatan terhadap keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan, pengukuhan nilai-nilai integriti dan memiliki kekuatan moral yang ampuh.

“Program Integriti IPMa 2017 ini adalah program yang diadakan bertujuan memberi pendidikan, pengetahuan dan pendedahan kepada pelajar IPMa, yang mana pengukuhan integriti yang ditanam di dalam program ini amat bernilai kepada pelajar, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Azhar mengulas, MARA sentiasa komited dalam memerangi rasuah, ini jelas dengan adanya program-program sebelum ini seperti mewajibkan setiap warga AMRA untuk menandatangani Ikrar Integriti Korporat MARA yang melibatkan setiap pusat, subsidiari dan institusi pengajian yang bernaung di bawah MARA sejak dari tahun 2012 lagi.

“Komitmen MARA dalam memperkasa integriti dikalangan warganya telah diperkukuhkan dengan penubuhan Unit Integriti MARA pada 1 Oktober 2012 yang mana unit ini bertindak dalam memastikan budaya kerja berintegriti dapat diterapkan dikalangan warga MARA,”   aulas beliau.

Azhar turut menambah, hasil daripada penubuhan unit tersebut, MARA telah merangka dan menerbitkan dua buah buku iaitu Pelan Integriti MARA (PIM) dan Kod Etika MARA (KEM) sebagai penduan kepada warga kerja MARA sekaligus mencetuskan program-program berkaitan integriti seperti Corruption Risk Management Program yang bertujuan mengenalpasti dan membaiki kelemahan sistem dan prosedur pentadbiran yang boleh memberi ruang kepada perlakuan rasuah.

“Pada tahun 2013 pula selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi berintegriti, bermoral dan melahirkan masyarakan yang bebas rasuah pada masa hadapan, MARA mengambil inisiatif dengan mewujudkan Sekretariat Pencegahan Rasuah di semua IPMa dengan memberi kefahaman dan penekanan kepada tenaga pengajar dan pelajar IPMa berkenaan gejala rasuah dan seterusnya memberi pendedahan dan pengetahuan yang luas kepada mereka tentang kepentingan untuk terus mengamalkan integriti pada tahap yang tertinggi,” ulasnya lagi.

Azhar berkata, dengan adanya pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh MARA, jumlah kes yang melibatkan isu-isu integriti dilihat semakin berkurangan, yang mana prosiding-prosiding telah dilaksanakan dan pelbagai tindakan juga telah diambil termasuklah hukuman buang kerja.

“Konvensyen Integriti IPMa 2017 yang diadakan buat julung kalinya ini akan mengambil pendekatan yang mesra pelajar dimana pengisian program ini turut akan disertai oleh selebriti dan personaliti terkenal untuk menjadikannya lebih menarik,” tambahnya lagi.

Azhar turut berkata, program ini juga akan dilaksanakan bukan sahaja di MJII Beranang, tetapi di 345 IPMa di seluruh negara dengan pelajar seramai 105,000 orang, yang mana adalah menjadi harapan besar bagi MARA agar usaha untuk mempertingkatkan semangat integriti dikalangan warganya ini akan berupaya untuk memelihara agensi ini sebagai sebuah organisasi amanah yang unggul dan diberkati.

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.