Generasi muda cetek pemahaman institusi beraja

TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika bertitah pada Majlis Konvokesyen UniKL ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Raja-Raja Melayu melahirkan rasa bimbang dengan generasi muda masa kini yang didapati terlalu cetek pemahaman, hilang minat dan kurang pengetahuan terhadap institusi beraja.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah terdapat dalam kalangan mereka yang memandang remeh peranan yang dimainkan institusi beraja, malah lebih menyedihkan ada yang tidak menghargai peranan institusi itu dan merasakan ia tidak lagi relevan dalam era globalisasi.

Selain itu titah baginda, tidak kurang juga wujudnya golongan yang ada kepentingan peribadi dengan menyalahgunakan platform media sosial, menyebarkan berita palsu dan tohmahan terhadap institusi diraja sehingga tiada lagi hormat serta adab.

TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan anugerah Pelajar Cemerlang “Chancellor’s Award’ kepada Naim Nasir pada Majlis Konvokesyen UniKL ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – Foto Mohd Fadli Hamzah

“Sesungguhnya, seiring pepatah raja dan rakyat berpisah tiada, bukan sedikit amanah yang digalas, tidak berhujung pengorbanan yang dituntut, seluruh kudrat haruslah kuat.

“Yakinlah bahawa institusi diraja di negara kita ini mempunyai nilai dan kepentingannya yang tersendiri, bukan hanya lambang adat dan kesinambungan sejarah.

“Apa yang lebih utama ialah mengekalkan identiti bangsa negara, memayungi semua rakyat sentiasa agar kegemilangan dan kedaulatan negara kekal terpelihara,” titah baginda.

Tengku Abdullah yang juga Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bertitah pada Majlis Konvokesyen UniKL Ke-14 di sini, hari ini.

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan anugerah Ijazah Doktor Kehormat Pengurusan kepada bekas Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Ibrahim Ahmad. – Foto Mohd Fadli Hamzah

Majlis turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof Datuk Mazliham Mohd Su’ud.

Baginda bertitah menyeru golongan muda termasuk graduan UniKL untuk tidak memandang ringan isu berkenaan dan mengubah sikap tidak mengambil kisah terhadap institusi diraja.

“Kajilah sistem yang ada, bacalah perlembagaan dan nilai setiap ayat dalam perlembagaan dengan lebih mendalam.

“Saya juga berharap tidak ada pihak tertentu khususnya badan politik dengan sesukanya menukar perlembagaan sedia ada yang sudah lama kita dapat hayati dengan sedalamnya untuk kebaikan semua,” titah baginda.

Pada majlis itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dimasyhurkan sebagai Pro Canselor UniKL.

UniKL turut menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Pengurusan kepada Presiden Universiti Rangsit, Thailand yang juga Ahli Parlimen Thailand, Dr Arthit Ourairat; Presiden dan Pengasas Organizational for Industrial, Spiritual and Cultural Advancement International, Datuk Dr Yoshiko Nakano dan bekas Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Seramai 8,100 graduan menerima ijazah doktor falsafah, sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil profesional pada majlis konvokesyen berkenaan bermula hari ini hingga Selasa.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/340207/generasi-muda-cetek-pemahaman-institusi-beraja

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.