Kebolehpasaran Graduan Terus Jadi Fokus Utama

Pengarah MARA Negeri Johor, Nor Hashimi Mahat (berdiri tengah) bersama-sama peserta program Finishing School: Student Grooming Career Booming.

JOHOR BAHRU, 23 Oktober –Pelajar-pelajar di bawah Institusi Pendidikan MARA (IPMa) terus dilengkapkan dengan nilai-nilai keperibadian, sikap serta sahsiah kerjaya yang selaras dengan kehendak serta keperluan industri pekerjaan masa kini melalui program Finishing School: Student Grooming Career Booming anjuran MARA Negeri Johor.

Menurut Pengarah MARA Negeri Johor, Nor Hashimi Mahat, program ini menggabungkan elemen motivasi dan inovasi dengan memfokuskan kepada latihan insaniah (softskills), latihan kemahiran teknikal (hard skills) sekali gus memberi nilai tambah terhadap kebolehpasaran pekerjaan kepada mereka.

“Dalam memangkin kepada pembangunan modal insan yang cemerlang, kita mewujudkan satu persekitaran pembelajaran yang kondusif dalam melahirkan pelajar yang holistik dari aspek akademik dan siasah dirinya bahkan diperlengkapkan dengan pelbagai kemahiran bagi mereka bersedia menempuh alam pekerjaan kelak,” katanya.

Tambahnya lagi, selain daripada memenuhi keperluan industri, keterbezaan para pelajar IPMa juga dapat dilihat apabila mereka diberi penekanan kepada ilmu keusahawanan sejak dibangku pengajian lagi dengan matlamat melahirkan graduan yang mampu mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat.

“Bakal graduan perlu mengambil peluang hari ini untuk mempersiapkan diri dan menimba sebanyak mungkin ilmu sebagai persediaan untuk memperolehi peluang pekerjaan di Industri Strategik Negara yang menjanjikan pendapatan tinggi,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan program itu di sini hari ini yang disertai oleh 200 orang pelajar IPMa di negeri Johor.

Antara pengisian program adalah motivasi diri pelajar bersama world class worker, inovasi dalam penulisan resume, tatarias diri dan imej korporat serta aktiviti pembentukan karekter, kepimpinan dan semangat berpasukan.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.