
ISMAIL SABRI YAAKOB mencuba keropok ikan ketika melawat gerai-gerai pameran pada Karnival Usahawan Desa (KUD) di PWTC hari ini. – UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ
KUALA LUMPUR 19 OKT. – Platform Trade Day yang pertama kali diperkenalkan menerusi Karnival Usahawan Desa (KUD) 2017 hari ini dijangka mampu meningkatkan jaringan perniagaan antara pihak industri bersama pasar raya besar, pengeluar, pembeli dan usahawan desa.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lebih 40 pemain industri yang terdiri daripada wakil pasar raya besar seperti Tesco, Lulu Hypermarket dijemput untuk menghadiri Trade Day tersebut bagi meninjau produk-produk yang berpotensi untuk dipasarkan di pasar raya tersebut.
“Kita sasarkan untuk Trade Day hari ini kontrak jualan yang bakal dipersetujui ialah sebanyak RM10 juta.
“Banyak produk usahawan tempatan yang saya lihat berpotensi dan dapat menarik minat pemain industri,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat gerai pameran KUD 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
KUD 2017 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 22 Oktober ini disertai kira-kira 700 usahawan luar bandar dari seluruh negara. – UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/trade-day-kud-2017-tingkat-jaringan-perniagaan-1.539841#ixzz4w1V0E2jV