
SEBAHAGIAN pelajar dan kakitangan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu yang terlibat dalam gotong royong memasak tiga buah kawah bubur asyura di pekarangan kolej itu di Kota Bharu hari ini. – UTUSAN
KOTA BHARU 16 Okt. – Meskipun bulan Muharam semakin sampai ke penghujungnya namun tradisi memasak bubur asyura sempena sambutan Ma’al Hijrah masih rancak dilakukan pelbagai pihak di serata tempat di negeri ini.
Tidak ketinggalan adalah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Staf (KSRS) kolej itu dan Majlis Perwakilan Asrama (MPA) yang bergotong royong memasak tiga kawah bubur asyura hari ini.
Menurut Pengarah Program yang juga Exco Protokol dan Perhubungan Awam MPP kolej itu, Abdul Aziz Ramli, pihaknya menganggarkan lebih 2,500 bekas bubur ayura dapat mula diagihkan lewat petang ini.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, kami bergantung kepada kepakaran dan pengalaman Pensyarah Kejururawatan, Zaiton Hassan yang sudi memberi tunjuk ajar dan berkongsi resepi bubur asyura turun temurun keluarganya.
“Persiapan telah bermula sejak beberapa hari lalu melibatkan lebih 100 pelajar dan kakitangan termasuk yang mengacau bubur asyura dari pagi sehingga petang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di pekarangan KPTM Kota Bharu di sini hari ini.
Yang turut hadir Yang Dipertua KSRS KPTM Kota Bharu, Mohamad Rusli Mohd Saleh dan Presiden MPP kolej itu, Faizul Azwan Mohd Kifley.