MRSM seluruh negara sedia guna e-book

Ismail Sabri mengagihkan bubur asyura yang dimasak secara gotong-royong kepada penduduk tempatan yang hadir pada majlis itu.

BERA – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara bersedia melaksanakan sistem pengajaran dan pembelajaran menerusi e-book dalam usaha mengurangkan bebanan pelajar membawa buku ke sekolah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi memastikan sistem e-book itu tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, pihaknya akan meneliti kesesuaian pada setiap matapelajaran jika ia dilaksanakan.

“Pada zaman moden ini, negara kita sememangnya ke arah ‘papaer less (mengurangkan penggunaan kertas), dan sekarang ini pun sudah ada sistem e-book. Jadi, mungkin satu hari nanti kita juga ke arah itu cuma bila atau bagaimana bergantung kepada bajet dan sebagainya.

“Kita bersedia kalau ia bersesuaian dengan kita tetapi kita pun mempunyai matapelajaran yang tidak boleh dikompromi (perlu menggunakan buku),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Asyura Perdana Parlimen Bera di Masjid Darul Fikri, hari ini.

Sebanyak 52 kawah bubur asyura dimasak membabitkan penglibatan kakitangan kerajaan dan penduduk setempat.

Mengulas mengenai kenyataan Kementerian Pendidikan yang akan mengetatkan peraturan tidak membenarkan murid membawa lebihan buku ke sekolah secara lebih serius, Ismail Sabri berkata, MRSM akan mengikut dasar yang ditentukan Kementerian Pendidikan berdasarkan kepada kesesuaian di semua 55 MRSM seluruh negara.

Katanya, pihaknya akan memberikan perhatian serius terhadap apa sahaja cadangan daripada kementerian pendidikan dalam usaha memajukan dan memperkasakan pendidikan negara.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bera menaruh keyakinan pembentangan Bajet 2018 akan memberikan manfaat kepada masyarakat luar bandar.

“Saya yakin bajet kali ini terbaik untuk masyarakat luar bandar dan sama-sama kita menunggu pembentangannya nanti,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/mrsm-seluruh-negara-sedia-guna-e-book-1.743239

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.