BERA, 14 Okt (Bernama) — Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara sedang mengkaji untuk melaksanakan penggunaan ‘e-book’ dalam pengajaran dan pembelajaran sebagai usaha mengurangkan beban pelajar membawa banyak buku, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata sebelum dilaksanakan, pihaknya akan meneliti perkara itu daripada pelbagai aspek termasuk kesesuaiannya dan jumlah peruntukan yang diperlukan.
“Memang negara kita ke arah mengurangkan penggunaan kertas dan masa ini sudah ada e-book. Jadi kita ke arah itu? tetapi bila kita hendak bermula bergantung kepada bajet dan sebagainya.”
“Bagaimanapun dalam sesetengah subjek, masih tetap memerlukan buku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Asyura Perdana Parlimen Bera di sini, hari ini.
Kementerian Pendidikan sebelum ini dilaporkan bakal mengetatkan peraturan untuk tidak membenarkan murid dan pelajar membawa lebihan buku ke sekolah ekoran isu pelajar membawa bebanan yang berat ke sekolah sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar sendiri.
Ismail Sabri berkata pihak KKLW akan memastikan 55 MRSM di seluruh negara mengikuti apa sahaja cadangan Kementerian Pendidikan untuk memperkasakan lagi bidang pendidikan negara.
Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1400445