Akal Yang Sihat Datang Dari Badan Yang Cergas

YBhg. Dato’ Azhar Bin Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA (barisan hadapan empat dari kanan) bergambar bersama peserta FIT MARA sempena Hari Sukan Negara Peringkat Ibu Pejabat MARA 2017

oleh Mohd Taufek bin Mohd Noh
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur 14 Oktober – Bersempena sambutan Hari Sukan Negara 2017, MARA telah menganjurkan program “FitMARA 2017” yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Azhar Bin Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA di perkarangan Ibu Pejabat MARA Kuala Lumpur bermula seawal jam 7.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Penganjuran program Sukan Negara pada kali ini adalah dengan kerjasama pelbagai agensi MARA. Selain Ketua Pengarah Dan Pengurusan MARA yang hadir pada program kali ini, Anak-anak Syarikat MARA dan NGO-NGO MARA serta 700 peserta dari kalangan warga MARA turut serta dalam menjayakannya. YBhg. Dato’ Azhar dalam ucapannya berkata, beliau amat berterima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak secara langsung dalam menjayakan program FitMARA2017 ini.

Antara pengisian yang diadakan dalam program ini adalah pembudayaan amalan hidup cergas seperti senamrobik dan aktiviti cerdas minda seperti kuiz yang berkisar tentang Hari Sukan Negara dengan melibatkan penyertaan komuniti MARA yang terdiri dari warga kerjanya, para usahawan dan juga anak-anak kakitangan MARA. Turut diadakan cabutan bertuah yang merupakan antara aktiviti menarik bagi memeriahkan suasana disamping menyuntik semangat bersukan dan membudayakan amalan gaya hidup sihat.

Menurut salah seorang peserta yang hadir berkata, “Program seperti ini seharusnya dikekalkan dan diterapkan dalam diri semua warga MARA khasnya dan masyarakat amnya kerana kecerdasan minda mencerminkan budaya kerja yang sihat berpanjangan”. Ujarnya lagi, “Inilah masa yang paling seronok kerana dapat meluangkan masa bersama-sama keluarga dan kawan-kawan untuk menenangkan minda dengan bersenam”.

YBhg. Dato’ Azhar menambah dalam ucapannya, penganjuran program FitMARA 2017 merupakan tanda sokongan MARA terhadap amalan gaya hidup sihat yang menyifatkan program seumpama ini adalah langkah pro aktif bagi menyokong hasrat kerajaan dalam menganjurkan Hari Sukan Negara 2017.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.