MARA Digital : Hab Perniagaan ICT Bumiputera

YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri KKLW melancarkan MARA Digital @Ipoh

Oleh : Nor Waheeda Ramzan
media@mara.gov.my

Ipoh, 12 Oktober – Majlis Pelancaran MARA DIGITAL@Ipoh telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Pembukaan MARA DIGITAL@Ipoh ini merupakan kesinambungan dari kejayaan dan kesungguhan yang berterusan dari MARA dalam memastikan transformasi teknousahawan Bumiputera terus maju dalam dunia tanpa sempadan ini.

Bermula dengan pembukaan pertama di Menara MARA, Kuala Lumpur pada tahun 2015 kemudian diikuti di Anggerik Mall, Shah Alam pada 2016 yang menjadi kayu pengukur kejayaan dimana MARA DIGITAL Kuala Lumpur telah merekodkan jualan melebihi RM18 juta dengan kehadiran pengunjung lebih 1 juta.

Bagi tahun 2017, sehingga Ogos seramai 585,580 orang pengunjung telah dicatatkan dengan hasil jualan melebihi RM 29 juta.

Menurut Ismail Sabri, MARA DIGITAL berperanan sebagai hab perniagaan ICT dan merupakan penawaran terbaik barangan ICT termasuk gajet serta perkhidmatan digital lain bagi keperluan pengguna.

Tambah beliau, sempena pembukaan MARA DIGITAL@Ipoh ini, usahawan-usahawan ICT disini diberi pengecualian bayaran sewa selama 6 bulan sama seperti pembukaan MARA DIGITAL Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Antara keistimewaan MARA DIGITAL ini adalah hanya menjual produk ICT dan digital yang tulen sahaja. Pemantauan akan dibuat setiap masa melalui Jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memastikan usahawan-usahawan MARA DIGITAL untuk menjual produk asli pada harga yang berpatutan.

Bagi memastikan kelangsungan kejayaan MARA Digital, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah amat optimis dalam mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan ICT kepada Bumiputera. Antaranya dengan menerusi pembukaan MARA DIGITAL Kuantan pada penghujung Oktober.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi MARA, Datuk Dr. Awang Adek bin Hussin dan Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar bin Abdul Manaf.

Advertisements
This entry was posted in Pelaburan. Bookmark the permalink.