Forum tingkat pelabur

FORUM Perniagaan Antarabangsa Mara OISCA (MOIBF) di Kota Kinabalu, Sabah pada 14 dan 15 November ini dijangka mengukuh dan mengembangkan lagi potensi dan peluang usahawan Bumiputera ke peringkat antarabangsa, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Awang Adek Husin.

Selain itu, beliau berkata, forum berkenaan dijangka menambah syarikat Bumiputera yang bekerjasama dengan syarikat Jepun dengan nilai perniagaan mencecah lebih RM200 juta.

“Jadi hasil MOIBF ini sudah dapat dilihat dan dijangka meningkat lagi. Kerjasama ini penting supaya golongan usahawan dapat memupuk rangkaian, supaya perniagaan dan usaha sama pelaburan dapat ditingkatkan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pra-Pelancaran MOIBF kali ke-enam, di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut kenyataan akhbar penganjur, kerjasama antara Mara dan OISCA bertujuan meningkatkan keupayaan teknikal dan keusahawanan dalam kalangan belia dan juga usahawan Malaysia.

Melalui kerjasama ini, graduan Bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) dari Mara akan melalui Pusat Bahasa Jepun Mara OISCA di Institut Perindustrian Mara-Jepun untuk melanjutkan pengajian dan latihan praktikal di Jepun.

Sementara itu, beliau berkata, antara tumpuan forum dua hari itu ialah sesi perbincangan antara pakar dalam bidang berkaitan dari Malaysia iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Datuk Azman Mahmud, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi Sabah, Datuk Dr Mohd Yaakub Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Datuk Dr Hafsah Hashim.

Menurutnya, turut menjadi tumpuan ialah sesi pemadanan perniagaan antara kedua-dua negara bagi memudahkan hubungan perniagaan, perdagangan dan pelaburan di samping menggalak perkongsian teknologi dan penyelesaian perniagaan.

“MOIFB juga akan memberi penekanan kepada perniagaan sektor berasaskan pertanian, makanan dan minuman (F&B) dan pelancongan.

“Kita jangka F&B kali ini lebih terserlah kerana minat yang meningkat dari usahawan Jepun yang ingin mempunyai rangkaian pembekal makanan halal sempena Olimpik 2020 di negara mereka,” katanya. – Bernama

 

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/bisnes/forum-tingkat-pelabur-1.741114

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.