Peluang-peluang Pendidikan: MARA Turun Padang Dekati Golongan Sasar

Pegawai Pendidikan Daerah Tangkak, Mahmud Sarlan (bertali leher) melawat salah satu pameran di program Jelajah Penganjuran Pelajaran dan Institusi Pendidikan MARA 2017 peringkat Daerah Tangkak.

Tangkak, 4 Oktober – MARA terus konsisten menyampaikan maklumat berkenaan peluang-peluang pendidikan melalui program Jelajah Penganjuran Pelajaran dan Institusi Pendidikan MARA 2017 Peringkat Daerah Tangkak di sini hari ini.

Menurut Pegawai Pendidikan Daerah Tangkak, Mahmud Sarlan, para pelajar seharusnya mengambil peluang yang disediakan oleh MARA ini dengan merangka hala tuju terbaik sebaik sahaja mereka menamatkan alam persekolahan kelak.

“Para pelajar harus bersyukur atas pelbagai inisiatif  kerajaan yang telah menyediakan pelbagai platform terbaik untuk mereka melanjutkan pengajian termasuk peluang-peluang yang disediakan di bawah Institusi Pendidikan MARA (IPMa) pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan program yang melibatkan hampir 300 orang pelajar, ibu-bapa dan juga kaunselor-kaunselor sekolah menengah di daerah Tangkak.

Kesemua IPMa seperti Univeristi Kuala Lumpur (UniKL), German-Malaysian Institute (GMI), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Kolej Profesional MARA (KPM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Institut Kemahiran MARA (IKM) dan GIATMARA turut mengadakan pameran di samping menyampaikan taklimat pendidikan kepada para peserta.

Program diakhiri dengan taklimat oleh Bahagian Penganjuran Pelajaran berkenaan program penajaan pendidikan di samping suntikan motivasi kepada para pelajar untuk menerokai laluan pendidikan yang disediakan oleh MARA.

Untuk rekod, program Jelajah Penganjuran Pelajaran dan Institusi Pendidikan MARA 2017 bagi negeri Johor telah memulakan jelajahnya pada 18 September yang lalu di Mersing dan akan berakhir di Muar pada 10 Oktober ini.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.