Idea pelajar KPTM Kota Bharu pikat UNICEF

Dua kumpulan pelajar Kolej Poly-tech MARA (KPTM) Kota Bharu bersama pensyarah yang memenangi pemilihan dan pembentangan Projek Inisiatif Anak Malaysia (i/AM) anjuran Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia di Kota Bharu, hari ini. – UTUSAN ONLINE

KOTA BHARU 3 Okt. – Idea bernas dua kumpulan pelajar Kolej Poly-tech MARA (KPTM) Kota Bharu yang menyertai Projek Inisiatif Anak Malaysia (i/AM) berjaya memikat penilai dari Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia merebut dana permulaan berjumlah RM1,000 bagi setiap kumpulan.

Kumpulan yang diketuai Faizul Azwan Mohd Kifley, 20, di bawah bimbingan pensyarah Jalaluddin Jamal telah mengemukakan idea untuk mencari penyelesaian kepada ibu bapa, guru dan rakan mengenal mangsa buli.

Manakala sebuah kumpulan lagi diketuai Nur Fakhira Najwa Mohd Raihan, 21, pula yang dibimbing pensyarah Che Mohamad Hamizan Che Wahab berjaya meneroka kaedah bagaimana ibu bapa boleh membantu anak sama ada yang menjadi pembuli atau dibuli.

Keputusan telah diumumkan Pengurus Projek Perancangan dan Strategi i/AM Unicef Malaysia, Zhen Cui selepas sesi pembentangan dan pemilihan yang berlangsung di KPTM Kota Bharu di sini hari ini.

Menurut Cui, projek yang bertujuan memberi peluang kepada anak muda untuk menyelesaikan masalah setempat itu turut dianjurkan di beberapa lokasi lain termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“Dua kumpulan ini akan diberi masa dua bulan menggunakan peruntukan RM1,000 setiap kumpulan untuk merealisasikan idea mereka dalam ujian awal.

“Selepas tempoh itu, kumpulan terbaik akan dipilih dan diberi peruntukan sebanyak RM5,000 lagi untuk meneruskan idea mereka dengan bimbingan pihak kami,” katanya.

Sebanyak 120 pelajar kolej itu terdiri daripada pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, Diploma Kejururawatan, Diploma Agroteknologi, Diploma Perakaunan, Diploma Pengurusan Pelancongan, Diploma Pengurusan Perniagaan dan Diploma Sains usahasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyertai sesi bermula sejak pagi hingga petang ini. – UTUSAN ONLINE

Sumber : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/idea-pelajar-kptm-kota-bharu-pikat-unicef-1.533730

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.