Medan Selera Anggerik Mall Dapat Pengiktirafan BeSS Kementerian Kesihatan Malaysia

20171002_103330

Dato’ Dr Hajah Zailan menyampaikan sijil pengiktirafan kepada salah seorang pemilik premis perniagaan makanan di Anggerik Mall Shah Alam, sambil disaksikan oleh Tuan Haji Megat Zakaria (dua dari kiri) dan Encik Azhar Ahmad.

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff
media@mara.gov.my
Shah Alam, 2 Oktober: Premis perniagaan makanan di Anggerik Mall, Shah Alam yang diselia oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah mendapat pengiktirafan bagi premis makanan Bersih, Selamat & Sihat (BeSS) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Hajah Zailan Binti Dato’ Adnan, BeSS merupakan satu pengiktirafan yang diberikan kepada pengusaha premis makanan bagi menggalakkan penyediaan makanan yang selamat dan sihat.

“Secara umumnya, terdapat empat kriteria utama yang perlu dipatuhi oleh pengusaha premis makanan bagi mendapat pengiktirafan tersebut iaitu mengekalkan premis yang bersih, penyediakan makanan yang selamat, menyediakan makanan yang sihat dan menyediakan makanan dalam saiz hidangan yang betul mengikut keperluan individu,” katanya di dalam ucapan di Majlis Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat Dan Sihat Peringkat Negeri Selangor 2017, yang diadakan di Anggerik Mall hari ini.

Kata Zailan lagi, para peniaga di Anggerik Mall, Shah Alam, telah mendapat pengiktirafan yang melibatkan dua komponen iaitu keselamatan dan kualiti makanan serta komponen pemakanan, yang mana bagi mendapatkan pengiktirafan ini, pengusaha premis makanan haruslah mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan bagi kedua-dua komponen ini.

Kesemua sembilan premis makanan di Anggerik Mall yang telah mendapat pengiktirafan BeSS adalah D’ Best Cafe, IRA & Mom Delight, D’ Arab Cafe, Selera Utara, Citarasa Thai, D Anggerik Nasi Campur, Kopi Santai, Selera Pantai Timur dan Syazril Enterprise.

Turut hadir di dalam majlis tersebut adalah Pengarah MARA Selangor, Tuan Haji Megat Zakarian Bin Megat Ahmad, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Encik Azhar Bin Ahmad, wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor dan wakil syarikat penyelenggara medan selera dari seluruh Selangor.

 

 

Advertisements
This entry was posted in Berita Kejayaan, Lain-Lain, Usahawan. Bookmark the permalink.