Produk tulen, berkualiti

PENGUNJUNG mendapatkan perkhidmatan di MARA Digital.

Pusat sehenti jualan gajet dan peralatan ICT itu menempatkan 37 usahawan Bumiputera dan 30 jenama barangan ICT termasuk komputer, telefon bimbit dan aksesori.

Sejak dibuka, lebih sejuta pengunjung hadir ke MARA Digital untuk mendapatkan produk keperluan dan pilihan masing-masing.

Pemilik kedai telefon bimbit, Zalifah Mohamad, 36, berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melakukan pemantauan menyeluruh secara berkala bagi memastikan semua peniaga menawarkan produk tulen serta perkhidmatan memuaskan.

“Terdapat juga sesetengah pihak mendakwa harga yang ditawarkan oleh peniaga MARA Digital mahal, tetapi percayalah semua gajet ditawarkan di sini mengikut harga pasaran terkini.

“Alhamdulillah, setakat ini sambutan pembeli amat menggalakkan dan rata-ratanya amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Paling penting, semua peniaga di sini perlu ikhlas dan jujur dengan pelanggan. Kami akan pastikan mereka mendapat produk dan perkhidmatan terbaik walaupun selepas pembelian,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

MARA Digital menjadi pusat sehenti jualan gajet dan peralatan ICT.

Pekerja kedai komputer, Muhammad Luqman Zulkiflee, 25, pula menjelaskan, pelanggan tidak perlu ragu-ragu membeli komputer di MARA Digital kerana setiap usahawan menjual produk tulen dan mempunyai nombor siri yang sah.

“Setiap komputer yang dijual oleh peniaga diambil daripada pengedar sah dan mengikut model terkini.

“Selepas hampir setahun MARA Digital beroperasi, kami bukan saja berjaya menarik kehadiran pelanggan tempatan, tetapi juga bangsa asing,” katanya.

Menurut pengurus kedai aksesori, Munirah Shafie, 30, pembukaan MARA Digital memberikan satu peluang perniagaan yang luas kepada kaum Bumiputera.

Katanya, dengan cara itu MARA dapat membantu meningkatkan ekonomi Bumiputera terutamanya dalam bidang ICT.

“Saya mencadangkan supaya diperbanyakkan acara seperti pameran ICT bagi mempromosikan lagi MARA Digital kepada orang awam.

“Ini kerana, MARA Digital setanding, malah lebih baik berbanding pusat jualan barangan telekomunikasi popular di ibu negara yang lain,” katanya.

Seorang pengunjung, Mahadhir Hashim, 42, berkata kerajaan membuat satu langkah baik terutama kepada pengunjung tempatan dan luar negara untuk mendapatkan gajet tulen melalui kewujudan MARA Digital.

“Pengguna seperti saya tidak perlu pening kepala pergi ke tempat lain untuk mencari gajet terkini yang diyakini tulen. Harga barangan juga berpatutan dan urus niaga dijalankan dengan selesa di sini,” katanya yang pernah ditipu ketika membeli telefon pintar di tempat lain sebelum ini.

Bagi Mohd Adnan Alias, 31, pula MARA Digital menjadi pilihannya membeli komputer kerana pelbagai jenama ditawarkan kepada pelanggan.

“Saya sangat berpuas hati dengan barangan dijual. Usaha MARA menyediakan ruang kepada usahawan Bumiputera ini memang bagus dan harus disokong kerana pelanggan mempunyai banyak pilihan,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang mahu membeli komputer berpeluang membawa pulang hadiah menarik dengan mengunjungi MARA Digital bermula esok hingga 8 Oktober sempena promosi besar-besaran dilakukan jenama Acer.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/10/268435/produk-tulen-berkualiti

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.