RM30 juta bakal diagih

AZIZ (kiri) bersama Abdullah yang menerima bantuan motosikal.

Ledang: “Walaupun bisu dan pekak, anak saya tetap boleh mengenal pasti kerosakan pada motosikal dihantar kepadanya dan berkomunikasi menggunakan isyarat tangan dengan pelanggan,” kata Aziz Ahmad, 65, bapa kepada orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Abdullah, 22, yang juga mekanik motosikal, di sini.

Abdullah antara 152 penerima bantuan Program Mobilepreneur@KKLW Tahun 2017 Zon Selatan disampaikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di GIATMARA Prima Ledang, di sini, semalam.

Aziz berkata, dia bersyukur kerana anak keempat daripada enam adik-beradik itu terpilih dalam program berkenaan dan berharap bantuan terbabit menjamin masa depannya.

“Abdullah memang minat membaiki motosikal hingga berjaya mencipta motosikal antik dan dibawa ke pertandingan peringkat MARA.

“Dia mahir membaiki motosikal melalui pengalaman dan disebabkan itu saya menyokongnya melanjutkan pengajian di GIATMARA Batu Anam, Segamat untuk mengikuti Sijil Kejuruteraan Automatif.

“Anak saya pernah bekerja di bengkel selama tiga tahun dan saya percaya dia boleh berdikari.

“Saya bersyukur kerana menerusi bantuan ini, dia dapat meluaskan perkhidmatannya secara bergerak,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, RM30 juta diperuntukkan kerajaan menerusi program itu dan pihaknya menyasarkan 3,000 penerima bakal menikmati bantuan sama di seluruh negara sehingga akhir tahun ini.

Katanya, tahun lalu, 500 individu menerima bantuan itu dan ia menunjukkan peningkatan pendapatan 10 peratus daripada sasaran pendapatan RM2,000 sebulan termasuk dalam perkhidmatan penghawa dingin, automotif dan elektrik.

“Berikutan program ini dianggap berjaya, ia diperluaskan dan sasaran seramai 3,000 orang bakal menerima manfaat menjelang akhir tahun ini di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Penerima bantuan perlu kreatif mempromosikan perniagaan menggunakan media sosial, selain laman web tanpa mengharapkan promosi kerajaan semata-mata.

“Antara matlamat program ini kami mahu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia di luar bandar,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar merangkap Ahli Parlimen Ledang Datuk Ir Hamim Samuri.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/09/267208/rm30-juta-bakal-diagih

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan, Usahawan. Bookmark the permalink.