KUPTM prihatin serah sumbangan

KUALA LUMPUR – Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur (KUPTMKL) hari ini menyerahkan sumbangan kepada waris bekas pelajarnya yang meninggal dunia pada Ramadan lalu akibat kemalangan jalan raya.

Bekas pelajar tersebut ialah Muhammad Aiman bin Khairul Nizam yang merupakan pelajar semester tiga bagi program Diploma Sains Komputer (CC101).

Kejadian berlaku pada 2 Jun 2017, kira-kira jam 8.25 malam di Kilometer 253 (KM253) Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala ke Selatan, apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan terbabas ketika dalam perjalanan ke rumah neneknya untuk berbuka puasa bersama-sama.

Arwah merupakan cucu kesayangan yang dianggap seperti anak sendiri yang dijaga sejak dari lahir lagi oleh nenek dan datuk beliau.

Kejadian ini sangat memberikan impak kepada mereka setelah kehilangan arwah.

Sehubungan itu, KUPTM Prihatin bersama Takaful Insurans mengambil inisiatif memberikan sumbangan kepada waris arwah untuk meringankan beban yang ditanggung.

Sumbangan berjumlah RM32,000 ini disampaikan oleh Pengerusi KPTM, Datuk Ahmad Nazlan Idris kepada datuk allahyarham, Samsudin Kasim.

“KPTM sememangnya menitikberatkan tentang inisiatif perlindungan insuran dan dianggap sebagai value added bagi menjaga kebajikan pelajar dan kakitangan.

“Jadi, dengan penyerahan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga dan melahirkan rasa simpati kepada keluarga bekas pelajar tersebut,” kata Ahmad Nazlan.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/kuptm-prihatin-serah-sumbangan-1.735668

 

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.