Peserta OKU antara penerima bantuan Mobilepreneur@KKLW

Abdullah Aziz bersama bapanya, Aziz Ahmad bergambar bersama motosikal yang diterimanya.

TANGKAK 26 Sept. Seorang peserta orang kurang upaya (OKU) membuktikan kekurangan diri bukan penghalang apabila menjadi antara 152 penerima bantuan motosikal dalam program Mobilepreneur@KKLW peringkat Zon Selatan, di sini.

Abdullah Aziz, 22, yang menjalankan perkhidmatan membaiki motosikal di Segamat merupakan OKU bisu yang pernah mengikuti pengajian dalam bidang automotif di GIATMARA Batu Anam, dekat sini.

Bapanya, Aziz Ahmad, 65, bersyukur kerana anak keempat daripada enam beradik itu terpilih menerima bantuan itu demi menjamin masa depan lebih baik.

“Abdullah memang minat membaiki motosikal sehingga berjaya mencipta motosikal antik dan dibawa ke pertandingan peringkat MARA.

“Dia belajar dan mahir membaiki motosikal menerusi pe­ngalaman dan kerana itu saya menyokongnya untuk melanjutkan pengajian dan Abdullah juga pernah bekerja di bengkel motosikal selama tiga tahun,” katanya.

Aziz yakin anaknya itu mampu berdikari dan berharap anaknya berpeluang memiliki bengkel motosikal sen­diri suatu hari nanti.

Seorang lagi peserta, Fahrina Md. Zin, 31, berkata, motosikal yang diterima akan memudahkannya bergerak menawarkan per­khidmatan spa kecantikan yang diusahakan di sekitar Melaka.

“Saya memang menyediakan perkhidmatan ini secara bergerak, tetapi sebelum ini menggunakan kereta, jadi agak sukar untuk saya bergerak kerana sering menempuh kesesakan dan kos yang tinggi.

“Dengan adanya motosikal ini saya dapat bergerak dengan lancar selain dapat menawarkan pakej pada harga berpatutan ekoran kos perkhidmatan yang dapat dijimatkan,” katanya.

Bagi, S. Sri Gana­vesh, 29, pula bantuan motosikal yang diterima membolehkannya meluaskan perkhidmatan menyelenggara atau mema­­sang sistem pendawai­an di rumah.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peluang ini, sekali gus dapat membantu kami meningkatkan pendapatan,” katanya.

Sumber : http://m.utusan.com.my/bisnes/usahawan/peserta-oku-antara-penerima-bantuan-mobilepreneur-kklw-1.531225

This entry was posted in Pendidikan, Usahawan. Bookmark the permalink.