Mesti bijak rangka strategi promosi perkhidmatan, gunakan pelbagai medium

SEBAHAGIAN daripada 152 peserta program Mobilepreneur dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan bergambar bersama Ismail Sabri Yaakob(tengah) selepas menerima bantuan berupa motosikal dan peralatan dalam Majlis Penyerahan Mobilepreneur@KKLW Tahun 2017 Zon Selatan di GIATMARA Prima Ledang, Tangkak, semalam.
TANGKAK 26 Sept. – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyarankan para peserta program Mobilepreneur@KKLW agar lebih kreatif mempromosi perkhidmatan mereka menerusi pelbagai medium yang ada.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka boleh menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram atau Twitter bagi memasarkan produk dan perniagaan masing-masing yang dijalankan secara bergerak.
“Mereka perlu bijak merangka strategi dengan menggunakan segenap peluang dalam media sosial untuk memberitahu apa perkhidmatan yang mereka tawarkan.
“Mereka tidak boleh mengharapkan kepada kementerian semata-mata kerana kita tidak boleh mempromosi perkhidmatan mereka secara terperinci,” katanya semasa merasmikan Mobilepreneur@KKLW Peringkat Zon Selatan di GIATMARA Prima Ledang di sini hari ini.
Mobilepreneur@KKLW yang diperkenalkan pada Mei 2016 merupakan inisiatif kementerian bagi melahirkan usahawan belia luar bandar bagi menjalankan perniagaan berkonsepkan bergerak menggunakan motosikal.
Terdahulu, Ismail Sabri menyerahkan 152 buah motosikal kepada peserta dari negeri ini, Melaka dan Negeri Sembilan yang meliputi pelbagai bidang perkhidmatan.
Katanya, kreativiti tersebut tidak terhad kepada usaha mempromosi perkhidmatan, malah usahawan perlu mempelbagaikan perniagaan mereka.
“Mungkin ketika ini mereka hanya menawarkan perkhidmatan membaiki kereta sahaja tetapi dengan kemahiran yang mereka ada, mereka boleh tawarkan juga servis mencuci kenderaan dan sebagainya bagi meningkatkan lagi pendapatan,” katanya.
Ismail Sabri berkata, berdasarkan kajian ke atas 500 peserta Mobilepreneur@KKLW pada 2016 hingga Julai lalu, hampir keseluruhan peserta berjaya meningkatkan pendapatan mereka melebihi 10 peratus.
Kira-kira 75 peratus daripada mereka berjaya melonjakkan pendapatan sebanyak 30 peratus, manakala bakinya meraih pendapatan lebih 100 peratus berbanding sebelumnya.
“Peningkatan pendapatan secara purata bagi keseluruhan 500 peserta itu adalah sebanyak RM534 sebulan dan keberhasilan pencapaian ini menunjukkan keberkesanan program berkenaan dalam meningkatkan pendapatan peserta.
“Namun, di peringkat kementerian kita meletakkan sasaran minimum pendapatan peserta sebanyak RM2,000 sebulan selepas mereka berjaya mengukuhkan perniagaan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 13 bidang perkhidmatan dikelaskan pada tahun ini, iaitu perkhidmatan automotif, elektrikal, pendingin hawa, spa kecantikan, jahitan, gunting rambut dan dandanan.
Turut ditawarkan adalah perkhidmatan motosikal, kimpalan, komputer, fotografi, elektronik, penyelenggaraan paip dan bangunan.
Ismail Sabri berkata, usaha melahirkan usahawan akan lebih berjaya dengan adanya penglibatan dan sinergi bersama para usahawan sedia ada yang telah menempa nama dalam perniagaan masing-masing untuk dijadikan sumber rujukan.
Sumber : http://m.utusan.com.my/bisnes/usahawan/peserta-mobilepreneur-kklw-perlu-kreatif-1.531221