100 pelajar dipilih hadiri tuisyen rakyat percuma

Wan Salman (dua kiri), Zahida Zarikh, Ketua Puteri Umno Parlimen Kuala Krau, Norafzan Abu Kasim dan Burhanuddin (kanan) bersama pelajar yang menjayakan pelancaran Pusat Tuisyen Rakyat di SMK Desa jaya.

BANDAR JENGKA – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melaksanakan program kelas tuisyen percuma, Pusat Tuisyen Rakyat, bagi peringkat Parlimen Kuala Krau, semalam.

Adun Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, program tersebut diadakan khusus untuk 100 pelajar terpilih yang merupakan calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan, Desa Jaya, Bandar Pusat Jengka di sini.

Menurutnya, Program Tuisyen Rakyat yang dijalankan secara percuma ini merupakan nilai tambah di dalam sistem pendidikan negara meskipun negara memiliki prasarana pembelajaran yang sempurna.

“Walaupun kerajaan sediakan prasarana pendidikan yang lengkap dari peringkat pra sekolah hingga universiti, namun program sebegini masih dijalankan sebagai satu nilai tambah kepada pendidikan negara.

“Oleh yang demikian para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM hendaklah memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan ilmu pengetahuan kerana mereka adalah peserta bertuah yang terpilih dalam kalangan ribuan pelajar lain.

“Program ini menawarkan kemudahan kelas bimbingan tambahan secara percuma kepada calon SPM daripada keluarga berpendapatan rendah khususnya di luar bandar dengan memberi tumpuan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian program yang disempurnakan oleh Pengerusi Sementara Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Datuk Zahida Zarikh Khan.

Sementara itu, Zahida berkata, Pejabat Pendidikan Daerah dan Puteri Umno Bahagian akan menjalankan pemilihan pelajar dan lokasi bersesuaian bagi pusat tuisyen ini.

Katanya, bagi kawasan Parlimen Kuala Krau, seramai 100 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dipilih.

Menurutnya, pelajar-pelajar itu akan diajar teknik menjawab peperiksaan, menghadiri kelas intensif serta motivasi sebagai persediaan tambahan sebelum menghadapi peperiksaan.

Beliau yang juga Naib Ketua Puteri Umno berkata, pendidikan merupakan jati diri bangsa dan negara di mana pembentukan sesebuah negara maju itu nanti dilentur oleh penghasilan ilmu yang baik.

“Dengan ilmulah yang akan memangkin perubahan seorang individu kepada seorang yang maju, berjaya, makmur dan progresif serta dapat mengatasi masyarakat yang mundur.

“Justeru, sebagai organisasi yang diamanahkan untuk meningkatkan pendidikan bumiputera yang berlatar keluarga miskin atau pendapatan rendah dalam akses pendidikan berkualiti, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) optimis mengangkat pendidikan ke fasa lebih tinggi.

“YPM mengorak langkah dengan membawa manfaat dan bantuan golongan asnaf yang punyai hak terhadap kemajuan negara, sekali gus meningkatkan tahap penguasaan akademik di luar waktu persekolahan,” katanya.

Wakil Pejabat Pendidikan Daerah MARAn, Burhanuddin Hashim pula berkata, kawasan Parlimen Kuala Krau merupakan salah satu kawasan yang terpilih daripada 179 pusat tuisyen di seluruh negara.

Menurutnya, SMK Desa Jaya bertindak selaku tuan rumah dengan penyertaan pelajar-pelajar lain daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat (SMKJP), SMKJP 2, SMK Felda Jengka 16, SMK Felda Jengka 18, SMK Felda Jengka 21, SMK Kuala Krau dan Maahad Tahfiz Sultan Haji Ahmad Shah.

“PPD menerima baik program ini, begitu juga ibu bapa. Kelas tambahan dijalankan setiap minggu selama lima sesi bermula jam 8 pagi hingga 5 petang bermula minggu lalu dan turut menyelitkan slot tambahan ceramah motivasi.

“Seramai 100 pelajar dipilih oleh pihak sekolah masing-masing ini pula merupakan pelajar yang berpotensi dan cemerlang dalam pelajaran, seiring matlamat PPD untuk melahirkan lebih ramai pelajar straigh A untuk SPM nanti,” katanya.

Program di SMK Desa Jaya merupakan kali kelapan di Negeri Pahang serta kali pertama dijalankan di bawah penyelarasan Puteri Umno Parliman Kuala Krau.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/pahang/100-pelajar-dipilih-hadiri-tuisyen-rakyat-percuma-1.735478

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.