MARA Digital: Aspirasi Transformasi Teknousahawan Bumiputera Diteruskan

MD1

Oleh Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 24 September: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus memperkasa aspirasi untuk memperbanyakkan lagi usahawan dalam bidang teknologi, ini termasuk membantu untuk memperkasa perniagaan runcit oleh usahawan Bumiputera melalui penubuhan MARA Digital.

Menurut Ketua Pengarah MARA, YBhg. Datuk Azhar Abdul Manaf, idea yang diperkenalkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob ini adalah untuk mewujudkan sebuah pusat perniagaan barangan elektronik yang memberi fokus kepada peniaga Bumiputera, sesuai dengan peranan MARA itu sendiri terutamanya dalam konteks penawaran peluang kepada usahawan Bumiputera untuk menceburi sektor teknologi.

MD2.jpeg

“MARA Digital ini merupakan satu projek pembangunan komersil industri ICT yang mana usahawan-usahawan ICT Bumiputera yang berada di dalam rantaian hadapan industri ditempatkan di dalam satu premis bagi memberi satu alternatif kepada orang ramai untuk mendapatkan produk-produk original dan servis, malah pusat ini juga menterjemahkan usaha transformasi dalam mewujudkan Techno-Hub Usahawan Belia yang Berpendapatan Tinggi,” katanya.

 

Azhar berkata, pada tahun 2016, MARA Digital Kuala Lumpur telah merekodkan seramai lebih 1 juta orang pengunjung dengan jualan lebih RM18 juta, manakala bagi tahun 2017 pula setakat bulan Ogos seramai 585,580 orang pengunjung dengan jualan melebihi RM7.6 juta.

 

“Diantara principle terbesar MARA Digital datangnya dari jenama-jenama antarabangsa, seperti Acer, Asus, Lenovo, Huawei, Hawlett-Packard, Digi, Celcom, Maxis dan juga Samsung, ini jelas menunjukkan kepercayaan jenama-jenama ini untuk memasarkan produk keluaran mereka di MARA Digital,” ulas beliau.

 

Kata Azhar, terdapat pelbagai program anjuran syarikat pengeluar barangan IT turut akan diadakan di MARA Digital, contohnya OPPO Fair dan Acer Roadshow yang akan diadakan pada tahun ini.

 

“Mulai Oktober 2017, promosi MARA Digital akan diadakan besar-besaran ini termasuk dengan mempromosikan pusat IT tersebut dengan menggunakan LED Billboard, promosi di Institusi Pendidikan MARA (IPMa), universiti tempatan dan juga pemasangan bunting di sekitar Kuala Lumpur,” terang Azhar.

 

Azhar mengulas, MARA Digital turut akan memperkembangkan lagi operasinya dengan pembukaan Tingkat 4 Menara MARA bagi menempatkan lagi lebih ramai usahawan IT di MARA Digital yang mana premis yang sedia ada sekarang tidak mampu untuk menampung jumlah pengunjung yang ramai sehingga wujudnya keperluan untuk membuka ruang yang lebih besar bagi memperbanyakkan lagi usahawan di MARA Digital.

 

“Kita menjual produk asli dengan harga yang benar-benar kompetitif, MARA Digital tidak menjual produk klon atau barangan tidak berkualiti, ini merupakan perbezaan ketara antara MARA Digital dan pusat-pusat IT lain. Pelanggan juga akan dilayan secara profesional oleh para peniaga di MARA Digital, tiada unsur paksaan atau penipuan berlaku di sini. Saya menyeru kepada pihak yang sering membuat dakwaan tidak benar mengenai MARA Digital untuk datang dan melihat sendiri perbezaannya,” ulas Azhar.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Lain-Lain, Pelaburan, Usahawan. Bookmark the permalink.