Program GTG Bantu Usahawan Terokai Pasaran Perniagaan Global

Pengerusi MARA, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin (tengah) bergambar kenangan bersama pengurusan tertinggi MARA dan peserta Program Gate To Global

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengadakan program sehari ‘Gate to Global’ (GTG) bagi membimbing usahawan Bumiputera menerokai pasaran perniagaan antarabangsa, di sini esok.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Zulfikri Osman berkata program yang menyasarkan penyertaan 500 usahawan Bumiputera itu memberi fokus kepada kaedah pemasaran, pembangunan produk dan penjenamaan serta pemasaran strategik yang berupaya membawa produk tempatan ke pasaran global.

“GTG akan memberi penekanan kepada penjenamaan produk keluaran usahawan Bumiputera terutamanya dalam kategori barangan konsumer bergerak cepat (FMCG) kepada entiti barangan yang mampu bersaing di pasaran dunia, di samping pendedahan bagi meningkatkan pelan komunikasi dan strategi pemasaran luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain bantuan pembiayaan yang disediakan Mara dan SME Corp, program GTG akan memberi pendedahan kepada usahawan Bumiputera mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat mengenai peluang pasaran eksport halal, input penjenamaan selain daripada program pengeksportan Bumiputera pasaran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Zulfikri berkata Mara mengalu-alukan kehadiran para usahawan Bumiputera yang ingin menembusi pasaran global terutamanya usahawan sektor makanan dan minuman (F&B), produk suplemen kesihatan, gaya hidup, automotif dan pengeluar produk FMCG.

Untuk maklumat lanjut mengenai program yang dianjurkan dengan kerjasama MATRADE dan SME Corporation Malaysia itu, usahawan berminat boleh melayari laman portal https://gatetoglobal.mara.gov.my.

Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1392293

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.