Memperkasa Produk Usahawan Bumiputera Ke Pasaran Global

Pengerusi MARA, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin (tengah) merasmikan Program Gate To Global

Kuala Lumpur, 19 September: Bagi terus menjadi aspirasi dan mercu kebanggaan bangsa dalam pembangunan usahawan Bumiputera, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus membangunkan usahawan-usahawan yang menghasilkan produk-produk berkualiti dan kompetitif bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malah untuk pasaran antarabangsa.

Menurut Pengerusi MARA, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin, MARA yang merupakan sumber aspirasi dan perjuangan tokoh kepimpinan terdahulu, menjadikan peranan utama organisasi ini sebagai sebuah agensi yang mengangkat martabat bangsa khususnya masyarakat Bumiputera.

Dalam menerajui Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, MARA bertanggungjawab membangunkan dan mempelbagaikan program keusahawanan bagi menyemarakkan lagi usaha membudayakan semangat keusahawanan di kalangan masyarakat Bumiputera demi merapatkan jurang ekonomi sedia ada selain menyeimbangkan pengagihan kekayaan negara di antara semua bangsa.

Awang Adek berkata, MARA telah menawarkan sebuah ekosistem pembangunan usahawan yang lengkap di mana agensi ini telah terbukti keunggulannya dalam pembangunan modal insan, pembangunan perniagaan, pembangunan infrastruktur fizikal dan pembangunan rantaian industri ditambah lagi dengan menyediakan kemudahan sokongan yang seperti kemudahan pembiayaan perniagaan, bimbingan dan khidmat nasihat serta kemudahan fizikal iaitu premis perniagaan.

“Sehingga hari ini, MARA telah menjadi champion agency in creating and developing entrepreneurs di mana hampir sejuta usahawan Bumiputera telah dibangunkan dalam pelbagai bidang yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara khususnya ekonomi Bumiputera. Dengan program-program keusahawanan yang telah dilaksanakan, hampir 700,000 orang usahawan telah dibangunkan melalui latihan, pembangunan standard perniagaan, pembentukan teknousahawan serta pemasaran dan penjenamaan. Selain itu, lebih 200,000 orang usahawan juga telah dibantu untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui kemudahan pembiayaan perniagaan,” ulas beliau.

Tambah Awang Adek lagi, MARA juga merupakan pelopor kepada konsep perniagaan peruncitan dengan mewujudkan bazar dan juga arked yang berfungsi sebagai pusat inkubator kepada usahawan Bumiputera untuk mula menjalankan perniagaan, yang mana sehingga kini mempunyai hampir 500 projek premis perniagaan dengan lebih 7,000 ruang niaga yang disediakan di seluruh negara.

“Usahawan Bumiputera mempunyai banyak produk yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, namun disebabkan kekakangan seperti kurangnya ilmu pengetahuan berkenaan subjek seperti pemasaran, penjenamaan dan juga reka bentuk produk yang tidak kompetitif telah menyebabkan produk-produk ini hanya bersaing di pasaran tempatan sahaja,” katanya di Majlis Pelancaran Seminar Gate To Global yang diadakan di Hotel Premeira, Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut mengenai industri makanan halal dunia, Awang Adek merujuk kepada statistik industri halal global yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), jumlah eksport industri halal adalah RM42 billion yang menunjukkan potensi industri ini untuk berkembang dengan lebih pesat, manakala sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara adalah sebanyak 7.5%.

“Melalui statistik ini, kita dapat lihat potensi industri halal global masih gagal diterokai sepenuhnya oleh syarikat Bumiputera tempatan kerana pelbagai faktor, di antaranya kurangnya ilmu pengetahuan mengenai akses pasaran global, kekurangan modal pusingan dan kapasiti pengeluaran, pembangunan penjenamaan produk yang tidak mencapai piawaian antarabangsa serta strategi pemasaran dan promosi yang tidak strategik,” katanya lagi.

Awang Adek menambah, melalui program Gate To Global ini usahawan Bumiputera berpeluang untuk meluaskan sayap perniagaan ke persada dunia  di mana kolaborasi  antara MARA, MATRADE, SME Corp dan Idea Institute bakal mewujudkan ekosistem keusahawanan yang akan membantu usahawan-usahawan Bumiputera mengukuhkan pembangunan strategi perniagaan sehingga mampu menembusi pasaran global.

“Hari ini seramai 500 orang usahawan yang hadir telah berminat untuk menyertai Program Gate to Global 2017, yang mana program GTG ini di adakan secara berfasa dengan misi untuk mewujudkan produk unggul (winning brand) daripada produk keluaran usahawan Bumiputera yang dibentuk secara unik dan memiliki perbezaan yang mempu bersaing di pasaran antarabangsa. Melalui program ini juga, MARA turut mensasarkan sekurang-kurangnya 100 Stock Keeping Unit (SKU) baru yang dapat dieksport pada tahun 2018 di peringkat global,” kata beliau.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain, Usahawan. Bookmark the permalink.