Gate To Global: Gerbang Usahawan Bumiputera Ke Persada Dunia.

GTG Logo Option 2_12092017

Kuala Lumpur, 13 September: Menyedari keperluan untuk membimbing usahawan Bumiputra untuk menerokai pasaran perniagaan antarabangsa, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Malaysian External Trade Development Corporation (MATRADE) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan mengadakan program Gate To Global (GTG) yang akan memberi fokus kepada pembangunan keupayaan usahawan, melalui pengukuhan penjenamaan dan pemasaran strategik yang berupaya memebawa produk tempatan ke pasaran global.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Encik Zulfikri Osman berkata, melalui program GTG, MARA mensasarkan keterlibatan seramai 500 usahawan Bumiputera untuk diberikan pendedahan berkenaan kaedah pemasaran, pembangunan produk dan penjenamaan melalui program seminar, kursus pengukuhan penjenamaan, kursus strategi penembusan pasaran halal global, bengkel latihan berfasa dan termasuk bantuan pembiayaan hasil kerjasama strategik MARA dan SME Corp.

 

“MARA melihat ramai usahawan Bumiputera terutama di kalangan usahawan bimbingan MARA mempunyai produk dan perkhidmatan yang sedia eksport (export ready), namun pendedahan dan peluang adalah amat terhad. Justeru melalui program ini kita akan meningkatkan kapasiti dan keupayaan usahawan bumiputera yang terlibat terutamanya dari aspek penjenamaan agar mereka mampu menjadi sebuah perusahaan bertaraf dunia,” ulas beliau.

 

Menurut Zulfikri, program berfasa ini dilaksanakan dengan misi mewujudkan produk unggul (winning brand) daripada produk keluaran usahawan Bumiputera yang dibentuk secara unik dan memiliki perbezaan yang mempu bersaing di pasaran antarabangsa. Melalui GTG, MARA turut mensasarkan sekurang-kurangnya 100 Stock Keeping Unit (SKU) baru yang dapat diekspot pada tahun 2018.

 

“GTG akan memberi penekanan terhadap penjenamaan produk keluaran usahawan Bumiputera terutamanya dalam kategori barangan konsumer bergerak cepat atau fast-moving consumer goods (FMCG) kepada entiti barangan yang mampu bersaing di pasaran dunia. Selain itu, GTG turut memberi pendedahan kepada usahawan Bumiputera bagi meningkatkan pelan komunikasi dan strategi pemasaran luar negara,” katanya.

 

Zulfikri mengulas, syarikat bumiputera tempatan turut akan dibantu untuk mengembangkan akses pasaran ke peringkat antarabangsa dengan kerjasama pintar antara MARA dan Malaysian External Trade Development Corporation (MATRADE).

 

“Program GTG merupakan sebuah gerbang usahawan untuk mereka melebarkan sayap pernigaan ke peringkat global, yang mana pendedahan awal diberikan kepada usahawan-usahawan Bumiputera untuk mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat mengenai peluang pasaran eksport halal, input penjenamaan selain daripada program pengeksport Bumiputera oleh MATRADE dan program-program keusahawanan yang ditawarkan oleh MARA,” ulas beliau.

 

Zulfikri berkata MARA mengalu-alukan kehadiran usahawan-usahawan Bumiputera yang ingin menembusi pasaran global, terutamanya usahawan-usahawan dalam kluster makanan dan minuman (F&B), produk supplemen kesihatan (Wellness), gaya hidup (Lifestyle), automotif dan usahawan yang mengeluarkan produk barangan konsumer bergerak cepat (FMCG).

 

Seminar pertama Program Gate To Global (GTG) diadakan pada 19 September 2017, bertempat di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Para usahawan Bumiputera yang berhasrat untuk melebarkan jaringan perniagaan ke persada global dipelawa untuk turut serta ke program tersebut. Untuk maklumat lanjut berkenaan penyertaan program ini, sila layari laman portal https://gatetoglobal.mara.gov.my.

This entry was posted in Korporat, Lain-Lain, Usahawan. Bookmark the permalink.