MARA Terus Komited Membudayakan Amalan Integriti

GERAH 1

(Dari kiri) Ahli Majlis MARA, YBhg Datuk Aris Samsudin bersama Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Azhar  Abdul Manaf, Pengerusi MARA, Datuk Awang Adek Husin dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad menunjukkan tanda “X” bagi menyokong kempen 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim & Jangan Settle) dalam Majlis Pelancaran Program GERAH di Terminal Bersepadu Selatan.

oleh Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 13 September: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus memberikan komitmen yang tinggi dalam mewujudkan persekitaran perkhidmatan, sistem penyampaian yang berkesan, telus dan bebas rasuah dengan menganjurkan program Gerakan Revolusi Antirasuah (GERAH) dan Kempen 3J (Jangan hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle).

Menurut Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Azhar Abdul Manaf, program GERAH dan Kempen 3J ini dijayakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merupakan usaha untuk terus mendidik dan menyemai semangat anti rasuah dikalangan seluruh warga MARA.

 

“MARA sentiasa komited dalam memerangi rasuah, ini jelas dengan adanya program-program sebelum ini seperti mewajibkan setiap warga MARA untuk menandatangani Ikrar Integriti Korporat MARA yang melibatkan setiap pusat, subsidiari dan institusi pengajian yang bernaung di bawah MARA sejak dari tahun 2012 lagi,” katanya.

 

Azhar berkata, selain itu pada 1 Oktober 2012 Unit Integriti MARA secara rasminya telah ditubuhkan hasil usahasama MARA dan SPRM, yang mana unit yang diketuai oleh seorang pegawai SPRM telah diwujudkan bagi memastikan budaya kerja berintegriti dapat diterapkan dikalangan warga MARA serta anak syarikatnya.

 

“Hasil daripada penubuhan unit tersebut, MARA telah merangka dan menerbitkan dua buah buku iaitu Pelan Integriti MARA (PIM) dan Kod Etika MARA (KEM) sebagai panduan kepada warga kerja MARA sekaligus mencetuskan program-program berkaitan integriti seperti Corruption Risk Management Program yang bertujuan mengenalpasti dan membaiki kelemahan sistem dan prosedur pentadbiran yang boleh memberi ruang kepada perlakuan rasuah.

 

Azhar turut mengulas pada tahun 2013 pula selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi berintegriti, bermoral dan melahirkan masyarakat yang bebas rasuah pada masa hadapan, MARA mengambil inisiatif dengan mewujudkan Sekretariat Pencegahan Rasuah di institusi pendidikannya dengan memberi kefahaman dan penekanan kepada tenaga pengajar dan pelajar IPMa berkenaan gejala rasuah dan seterusnya memberi pendedahan dan pengetahuan yang luas kepada mereka kepentingan integriti dan anti rasuah.

 

“Berikutan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh MARA, jumlah kes yang melibatkan isu-isu integriti dilihat semakin berkurangan. Prosiding-prosiding telah dilaksanakan dan pelbagai tindakan juga telah diambil termasuklah hukuman buang kerja,” ulasnya lagi.

 

Azhar menambah, majlis pada hari ini merupakan satu lagi kerjasama antara MARA dan SPRM kerana MARA telah menyediakan sebanyak tiga buah bas Mara Liner yang akan memaparkan mesej kempen GERAH dan 3J melitupi keseluruhan kenderaan tersebut bagi tempoh setahun.

 

“Harapan MARA agar usaha-usaha memerangi gejala rasuah ini akan terus dilakukan bagi memelihara MARA sebagai sebuah organisasi amanah yang unggul dan diberkati untuk mengangkat martabat bangsa,” katanya lagi.

This entry was posted in Korporat and tagged , , . Bookmark the permalink.