#MOHGETEHMERDEKAKKLW

is

ISMAIL SABRI YAAKOB merasmikan program #mohngetehmerdekakklw di Institut Kemahiran MARA (IKM ) Sungai Petani, Kedah, semalam. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO

SUNGAI PETANI 11 Sept. -Program #mohngetehmerdekakklw anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang masuk edisi kedua tahun ini berjaya mencatat rekod tersendiri apabila disertai kira-kira sejuta warga kementerian, agensi berkaitan dan orang ramai.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua peserta itu terdiri daripada individu yang mempunyai kaitan dengan kementerian termasuk usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan anak syarikat, pelajar dan mahasiswa tajaan di dalam dan luar negara serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Program ini merupakan kemuncak kepada sambutan Bulan Kemerdekaan bagi kementerian ini. Diadakan secara serentak di 12,250 lokasi berbeza, kami memberi kebebasan kepada warga kementerian di setiap lokasi untuk mengadakan apa jua aktiviti yang mampu me­­nyemarakkan rasa cinta rakyat terhadap negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.

“Program ini dijalankan secara santai dan terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing untuk merencanakannya. Namun, pengisiannya tetap jelas iaitu mengenai kemerdekaan dan sambutan hari kebangsaan tanah air,” katanya selepas merasmikan program tersebut di Institut Kemahiran MARA, di sini hari ini.

Jumlah penyertaan sejuta individu itu jauh mengatasi angka 600,000 peserta dalam program sama yang dicatatkan tahun la­lu.

Bagi menyemarakkan program tersebut, Ismail Sabri bersama dua timbalannya, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Borhan Dolah ‘berpecah’ untuk berada di empat lokasi utama di seluruh negara ia­itu di Balai Raya Song di Sarawak, Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Kampung Gong Datuk,  Gaal,  Pasir Puteh di Kelantan serta di ibu pejabat kementerian di Putrajaya.

Dalam majlis tersebut, Ismail Sabri turut meluangkan masa berkomunikasi secara lintas langsung bersama komuniti kementerian berkenaan di seluruh negara termasuk para mahasiswa tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di luar negara antaranya di Amerika Syarikat, Jerman, Australia dan Mesir.

 

Sumber : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/i-mohgetehmerdekakklw-i-1.525500

 

Advertisements
This entry was posted in Korporat and tagged . Bookmark the permalink.