Nama Robest Yong | Tempat Lahir George Town, Penang
“Setiap produk ada kelemahannya. Saya sentiasa mereka sesuatu yang lebih baik.”
Sewaktu kecil, Robest Yong rajin mencipta permainannya sendiri dan juga adik-beradiknya. Inilah yang mengasah mindanya yang penuh dengan pertanyaan dan perasaan ingin tahu dan dari saat itulah sifat inovatif Robest mula berkembang.
Setelah menamatkan pendidikan awal di sekolah Methodist Nibong Tebal, dia bekerja dengan sebuah syarikat kejuruteraan dan didedahkan kepada teknologi terkini di luar negara. Rekaan pertamanya yang telah memenangi pelbagai anugerah ialah mesin cop getah Polyclone yang dicipta pada tahun 1993. Rekaannya ini telah mempercepatkan masa yang diperlukan untuk membuat cop getah daripada seminggu kepada 5 minit sahaja. Rekaaan ini telah berjaya merangkul anugerah Emas di International Invention Fair in Geneva, Switzerland pada 1993 dan rekaan ini telah dikilangkan dan dijual di seluruh dunia.
Sejak itu, Robest tidak pernah berhenti daripada mereka cipta. Kini dia telah mereka 5 lagi ciptaan yang turut memenangi pelbagai anugerah. Dan yang terkini, Aplikasi VisionTouch Braille Smartphone Robest dapat membantu Golongan Orang Kelainan Upaya untuk menaip teks dengan menggunakan mana-mana telefon pintar. Aplikasi dan lapik plastik skrin ini telah dipatenkan dan dia berharap akan dapat memasarkannya dalam masa terdekat. Bagi Robest, semua orang mampu mereka cipta sesuatu jika bakat kreativiti kita diasah dan yang paling penting, sentiasa mencuba untuk merealisasikan idea kepada realiti.
Temui Robest Yong dalam iTec’17 Innovation Forum : “ Innovation : Challenges and Solutions” di KKTM Kemaman, 11-12 September 2017. Info lanjut layari : www.iitec2017.kktmkemaman.com