MARA AKAN TERUS KOMITED DALAM PEMBANGUNAN BUMIPUTERA

1N3A8463

Pengerusi MARA yang baharu YBhg. Dato’ Dr. Awang Adek Husin (tiga dari kanan) menerima dokumen serah tugas daripada Pengerusi Sementara YBhg. Datuk Dr. Yusof Yacob (tiga dari kiri).

Kuala Lumpur, 5 September – MARA merupakan salah satu organisasi terpenting negara yang mana ia akan terus bertindak sebagai agen transformasi kepada kaum Bumiputera dan juga menjadi platform untuk merealisasikan misi dan visi MARA yang menyokong dasar serta aspirasi transformasi kerajaan.

Menurut Pengerusi MARA, YBhg Dato’ Dr. Awang Adek Husin, iltizam yang ditunjukkan oleh MARA dalam meneruskan agenda memperkasakan rakyat khususnya kaum Melayu dan Bumiputera Luar Bandar menerusi Transformasi MARA yang bertemakan ‘Menjunjung Amanah Rakyat, Mendepani Masa Hadapan’ yang sejajar dengan dasar “Membandarkan Luar Bandar” oleh KKLW dan Transformasi Nasional TN50 kerajaan Malaysia.

“Oleh yang sedemikian, pemerkasaan ketiga-tiga sektor utama MARA iaitu, Keusahawanan, Pendidikan & Pelaburan perlu dilaksankan secara bersepadu dan menyeluruh di mana kolaborasi antara MARA bersama pemain industri utama di dalam dan luar negara perlu diperkukuh bagi semua pelaksanaan program serta aktiviti teras MARA, ini termasuk menjalinkan kerjasama pintar untuk memastikan MARA sentiasa kehadapan,” kata beliau. 

Beliau turut berkata, kolaborasi antara MARA bersama badan korporat, GLC dan konglomerat serta pemain industri utama di dalam dan luar negara akan memperkukuhkan lagi pelaksanaan program serta aktiviti teras MARA yang bertemakan “Keusahawanan dan Pendidikan Global”, yang mana kesinambungan dan kerjasama pintar yang sedia terjalin perlu diteruskan dan dipacu ke tahap yang lebih membanggakan untuk memastikan MARA terus sentiasa kehadapan.

“Modal insan yang dilahirkan dibawah program pendidikan MARA juga bukan sekadar menjadi profesional serta pekerja mahir berpendapatan tinggi kerana ia juga akan menghasilkan usahawan profesional dalam bidang masing-masing dan berupaya mencipta peluang perniagaan (business opputunities) dan pekerjaan (job creator) kepada anak bangsa yang lain. Program pembudayaan keusahawanan perlu terus dipertingkatkan dan fokus membangunkan usahawan berjaya dan inovatif telah terhasil melalui pendekatan strategik secara terangkum ketiga-tiga ekosistem keusahawanan, pendidikan dan pelaburan,” ulas beliau semasa majlis penyerahan tugas dan sesi khas pengerusi MARA bersama pihak pengurusan MARA yang berlangsung hari ini.

Awang Adek turut berkata, program-program pendidikan MARA telah melalui proses transformasi dan pengantarabangsaan bermula di peringkat pendidikan menengah di MRSM hinggalah ke peringkat Universiti.

“Antara pihak-pihak antarabangsa yang bekerjasama khususnya dalam menambah nilai kepada program pendidikan menengah MARA dan IPMa adalah seperti IGCSE, Pearson & ACCA, International Baccalaureate, Cambridge, Airbus, SAFRAN, Boeing, JR Kyushu, OISCA dan pelbagai lagi. MARA juga bercadang mengeksport modul-modul dan sistem pendidikan MARA ke mana-mana negara yang ingin mendapatkan sistem pendidikan yang bertaraf antarabangsa,” jelas beliau.

 

Beliau turut menjelaskan, ekosistem pendidikan MARA yang unik dan komprehensif merangkumi aliran perdana dan aliran teknikal, bermula dari peringkat pendidikan menengah di MRSM hingga ke peringkat universiti di UniKL dan UniMARA akan terus menjadi tonggak utama dalam melahirkan modal insan global dan berintegriti, mengeluarkan guna tenaga kerja profesional dan berkemahiran tinggi kepada negara dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“MRSM bertindak selaku institusi pendidikan menengah yang terunggul dalam melahirkan pelajar cemerlang dan holistik sehinga melahirkan ramai tokoh korporat, profesional, teknokrat serta pemimpin dalam pelbagai lapangan perniagaan, sektor awam dan pemimpin negara. MRSM Ulul Albab juga telah berjaya melahirkan 1,230 hafiz/hafizah yang akhirnya nanti bukan sekadar menghafaz 30 juzuk al-Quran, namun akan menjadi modal insan profesional, berkemahiran tinggi serta usahawan jaya yang berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam, berintegriti dan berakhlak mulia,” katanya lagi.

 

 

Advertisements
This entry was posted in Korporat and tagged , , , . Bookmark the permalink.