Di Sebalik Kejayaan Kontinjen Negara, Inilah Orang-Orang Yang Berkhidmat Memastikan Segalanya Sempurna. Barulah KITA SAMA HERO!

Jika anda perasan, setiap kali lensa kamera difokuskan pada atlet-atlet negara yang beraksi untuk temasya Sukan SEA 2017, imej dan penampilan mereka kelihatan cukup rapi.

Rambut disisir kemas, solekan menawan, kebersihan kuku dan pakaian yang begitu sempurna, tentu saja ada ‘seseorang’ yang menguruskan bak sentuhan ibu pada anak-anaknya.

Ya, mereka itu adalah team GIATMARA iaitu rakan kemahiran yang memberi perkhidmatan untuk para atlet sewaktu pra-Sukan SEA dan sepanjang Sukan SEA 2017 berlangsung.

Bermula 4 hingga 28 Ogos lalu, Nona dimaklumkan seramai 40 orang pelatih dan juga tenaga pengajar telah berkampung di Hotel Renaissance Kuala Lumpur selaku perkampungan sukan kontinjen Malaysia.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan dalam tempoh ini adalah tata rias, dandanan rambut, pengubahsuaian pakaian, jurugambar dan juga penyediaan pastri.

Ingin tahu bagaimana team gimnas negara kelihatan cukup cantik dan bersemangat hingga berjaya menggondol pingat emas acara individu dan berpasukan?

Rahsianya mungkin di bilik Posh & Glam ini. Dihias indah bagaikan sebuah spa, bilik ini paling mendapat perhatian di kalangan atlet untuk memanjakan diri selepas berlatih mahupun bertanding.

Perkhidmatan manicure menjadi tarikan utama di sini. Begitu juga hasil seni inai dan juga nail art sering menjadi bualan sesama atlet. Corak yang paling popular tentulah belang harimau yang menunjukkan semangat Sukan SEA 2017 yang tinggi.

Bahkan pasukan gimnastik negara juga menempah slot khas setiap kali mereka pergi bartanding. Begitu juga atlet yang menyertai perbarisan pembukaan, mereka juga telah disolek oleh pelatih GIATMARA daripada Ampang, Gombak dan Bandar Tun Razak.

Terdapat juga perkhidmatan pengubahsuaian atau alteration pakaian yang dijalankan oleh GIATMARA Titiwangsa. Di sini, mereka akan menambahbaik pakaian para atlet yang bertanding supaya kelihatan segak mengikut ukuran masing-masing.

Salah satu kenangan berharga ialah ketika ditugaskan menjahit bendera Malaysia pada sut atlet ekuestrian yang berharga ribuan ringgit milik Edric Lee.

Nyata kepakaran diperlukan bagi memastikan jahitan bendera tersebut tersemat kemas. Lebih manis pasukan ekuestrian negara berjaya meraih pingat emas dalam semua acara yang disertai.

Team GIATMARA Kota Raja pula bertugas mematrikan memori kontinjen ketika berada di perkampungan pasukan Malaysia.

Mereka bertugas mengambil gambar atlet dan juga momen-momen penting sebagai naskhah kenangan. Gambar yang diambil itu akan dicetak dan dijadikan cenderahati kepada kontinjen.

Menjadikan memori itu lebih menarik, GIATMARA Kota Raja juga mencetak gambar yang diambil pada button badge dan juga keychain. Nyata cenderahati ini menjadi pilihan atlet untuk ditukar ganti sesama atlet luar negara yang bertanding.

Kontinjen negara dihadiahkan juga dengan perkhidmatan seni reka gaya rambut. GIATMARA Ampang, GIATMARA Lembah Pantai dan juga GIATMARA Shah Alam sentiasa menjadi rebutan atlet lelaki khususnya.

Gaya rambut yang terkini sering menjadi pilihan untuk digayakan. Seorang pelatih berasa bertuah diberi penghormatan untuk menggayakan rambut pelari pecut nombor satu Asean, Khairul Hafiz Jantan.

Atlet lempar cakera negara yang menggondol emas, Muhammad Irfan Shamsuddin juga meluangkan banyak masa demi mendapat potongan yang dihajati kerana bagi beliau penampilan mampu menaikkan semangat ketika bertanding.

Menurut seorang tenaga pengajar, Encik Muhaimin, beliau terlalu asyik memberikan perkhidmatan kepada atlet sehinggakan tidak menyedari beliau sedang menghias rambut Farah Ann Abdul Hadi.

Di bilik VVIP dan juga bilik makan kontinjen telah mendapat sumbangan biskut hasil tangan GIATMARA Pandan dan juga GIATMARA Kelana Jaya.

Mereka telah menyediakan biskut tenaga dan ia sentiasa menjadi pilihan atlet untuk dibawa bekal semasa berlatih. Keenakan biskut ini terbukti dengan tempahan khas untuk dijadikan hadiah kepada kontinjen luar negara yang bertanding.

Penyertaan GIATMARA dalam memberikan perkhidmatan kepada atlet Sukan Sea 2017 ini dilihat satu pengiktirafan negara terhadap kebolehupayaan GIATMARA dalam menyampaikan kepakaran yang ada.

Melalui penyertaan ini, secara tidak langsung memberi promosi kepada atlet khususnya dan kepada umum amnya. Seramai 1,000 orang atlet Malaysia dan juga pemimpin negara telah berada di lokasi perkhidmatan selama kejohanan ini berlangsung.

Berpaksikan #KitaJuara, diharap sumbangan GIATMARA ini memberi keceriaan kepada kontinjen dan mampu menjelmakan kilauan emas untuk negara. Ayuh Malaysia, Bangkit Bersama. Norzalina Mohd Alias

Sumber : http://www.nona.my/di-sebalik-kejayaan-kontinjen-negara-inilah-orang-orang-yang-berkhidmat-memastikan-segalanya-sempurna-barulah-kita-sama-hero/

 

Advertisements
This entry was posted in Berita Kejayaan, Korporat, Pendidikan. Bookmark the permalink.