15,000 peluang pekerjaan diisi

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah bersama Norashikin bergambar dengan barisan artis dan pengunjung pada SL1M peringkat Zon Selatan 2017 di MITC Ayer Keroh, semalam.

AYER KEROH: Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Selatan 2017 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, berjaya mencapai sasaran apabila 15,000 peluang pekerjaan diisi untuk pelbagai sektor industri.

Ketua Sekretariat SL1M, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Norashikin Ismail, berkata program dua hari itu mendapat maklum balas positif daripada pemohon serta menerima sambutan daripada wakil industri yang mengambil bahagian untuk menawarkan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat terkini diterima daripada pihak industri, kebanyakan pemohon memilih untuk berkhidmat dalam sektor perkhidmatan.

“Jumlah sasaran ini berjaya dicapai susulan kehadiran pengunjung dari luar zon selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) seperti Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

“Pihak industri juga berpuas hati kerana mereka berjaya mendapat banyak pilihan menerusi jumlah permohonan, sekali gus berupaya memiliki pekerja berkualiti,” katanya kepada BH, semalam.

Jangan memilih kerja

Berlangsung pada Sabtu dan kelmarin, program SL1M Peringkat Zon Selatan 2017 menyediakan pelbagai acara, termasuk sesi temu duga terbuka, klinik ‘resume’, bual kerjaya, sesi motivasi serta persembahan artis terkenal, termasuk Faizal Tahir, Kumpulan Zero, Altimet, Joe Flizzow, Syamil dan Farish Aziz.

Norashikin berkata, program itu juga berjaya membuktikan inisiatif kerajaan dalam menawarkan peluang kerjaya kepada ribuan pemohon bagi mengisi kekosongan jawatan ditawarkan di pasaran.

“Kita sentiasa menyarankan peserta Program Temu Duga SL1M supaya menyahut cabaran dengan tidak memilih pekerjaan, sebaliknya cuba menambah pengalaman,” katanya.

SL1M platform terbaik

Sementara itu, graduan Makmal Perubatan (Klinikal) Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Firdaus Ramli, 24, berkata tiada alasan untuk tidak merebut peluang pekerjaan memandangkan program SL1M menyediakan struktur peluang pekerjaan yang sempurna bergantung kepada kelayakan setiap individu.

“Setiap permohonan kekosongan jawatan juga hanya mengambil masa kira-kira lima minit, iaitu dengan mengisi maklumat menerusi aplikasi dalam talian,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Seorang lagi peserta program SL1M, Suhazlin Ali, 26, dari Batu Berendam, di sini, bersyukur apabila menerima surat tawaran secara terus ketika menghadiri sesi temu duga program berkenaan.

Katanya, pengalaman bekerja sebagai perunding pelancongan selama enam bulan di syarikat lain sebelum ini ternyata memberi rezeki kepadanya mendapatkan pekerjaan sebagai duta lapangan terbang melalui program itu.

“Program SL1M terbukti menyediakan platform terbaik buat pemohon mendapatkan banyak pilihan kerjaya secara mudah dan cepat,” katanya.

Timba pengalaman dahulu

Sementara itu, alumni program SL1M, Fatin Fiezwa Ismail, 28, yang kini bekerja sebagai Eksekutif Kewangan Bank Islam Malaysia Berhad di Ayer Keroh, turut menasihatkan pemohon supaya tidak terlalu memilih pekerjaan, sebaliknya merebut peluang yang ditawarkan untuk menimba pengalaman.

“Golongan ini (penganggur) kini lebih mudah kerana pihak SL1M sendiri yang turun padang, berbanding cara dahulu yang hanya melalui dalam talian sebelum menunggu sehingga enam bulan untuk dipanggil temu duga,” kata bekas graduan Pengajian Matematik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Info

  • 20,000 pemohon hadir pada Program
  • Temu Duga Terbuka SL1M 2017 Peringkat Zon
  • Selatan di MITC, pada 26 dan 27 Julai lalu
  • Lebih 100 agensi, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta
  • mengambil bahagian bagi menawarkan peluang kerjaya

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/08/319059/15000-peluang-pekerjaan-diisi

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.