
Pengunjung mengisi borang pendaftaran pencari kerja secara online pada Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) peringkat Zon Selatan 2017 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. – Foto NSTP/Khairunisah Lokman
AYER KEROH: Inisiatif kerajaan menganjurkan program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) terbukti memberi manfaat kepada ribuan pemohon bagi mengisi kekosongan jawatan.
Kebanyakan peserta Program Temu Duga SL1M pula menyahut cabaran dengan tidak memilih pekerjaan, sebaliknya mahu menambah pengalaman serta meningkatkan taraf hidup keluarga.
Graduan Makmal Perubatan (Klinikal) Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Firdaus Ramli, 24, berkata tiada alasan untuk tidak merebut peluang pekerjaan memandangkan program SL1M menyediakan peluang pekerjaan terbaik bergantung kepada kelayakan individu.
“Setiap permohonan kekosongan jawatan juga hanya mengambil masa kira-kira lima minit iaitu dengan mengisi maklumat menerusi aplikasi atas talian,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Peserta Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) peringkat Zon Selatan 2017, Firdaus Ramli (kiri) dan Suhazlin Ali. – Foto NSTP/Khairunisah Lokman
Seorang lagi peserta program SL1M, Suhazlin Ali, 26, dari Batu Berendam, di sini, bersyukur apabila menerima surat tawaran secara terus ketika menghadiri sesi temu duga program berkenaan.
Katanya, pengalaman bekerja sebagai perunding pelancongan selama enam bulan di sebuah syarikat sebelum ini memberi kelebihan kepadanya untuk mendapat pekerjaan sebagai duta lapangan terbang melalui program itu.
“Program SL1M terbukti menyediakan platform terbaik buat pemohon mendapatkan banyak pilihan kerjaya secara mudah dan cepat,” katanya.
Sementara itu, alumni program SL1M, Fatin Fiezwa Ismail, 28, yang kini bekerja sebagai Eksekutif Kewangan Bank Islam Malaysia Berhad di Ayer Keroh, turut menasihatkan pemohon supaya tidak terlalu memilih pekerjaan.
“Penganggur kini lebih mudah kerana pengurusan SL1M sendiri yang turun padang, berbanding cara dahulu melalui dalam talian sebelum menunggu sehingga enam bulan untuk dipanggil temu duga,” katanya yang juga graduan pengajian Matematik dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/08/318362/sl1m-beri-manfaat-kepada-pencari-kerja