Bawa mesin jahit ke stadium

“WAKTU mendapat tahu permohonan untuk menyambung pelajaran di London kena tolak, saya benar-benar sedih. Itu memang sudah menjadi impian saya memandangkan tidak semua orang mampu sampai ke tahap itu,” ungkap Den Wahab mengimbas kembali peristiwa yang berlaku pada 1982. Pada umur yang cukup mentah, permohonannya untuk sambung belajar ke kota berkenaan dengan menggunakan wang tajaan MARA (Majlis Amanah Rakyat) telah ditolak pada usianya sekitar 20 tahun.

Sebelum itu, sebaik sahaja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1980 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Kuala Lumpur, dia telah diamanahkan untuk meneruskan perniagaan kedai jahitan keluarga yang asalnya diusahakan oleh ayah, Abd Wahab Zakaria.

Den kemudian diterima masuk ke Institut Kemahiran MARA (IKM) Petaling Jaya, Selangor dan menghabiskan masa dua tahun di situ bagi mempelajari tentang rekaan pakaian dan selok belok bidang jahitan bersama.

“Sebaik sahaja tamat belajar, saya bersama tiga rakan yang lain dipanggil oleh Cikgu Yaakob yang mengajar ketika di IKM itu. Dia nampak ada potensi besar pada kami dan menawarkan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke London

“Tentu sahaja ini peluang keemasan dan tak seharusnya ditolak. Tapi, jawapan yang diterima mengecewakan. MARA tidak mahu menaja kami atas beberapa sebab,” katanya mengajak berbicara tentang kisah lama.

Memandangkan ayah pula baru meninggal dunia (1982), ibu menjadi tempat mengadu. Faham dengan keadaan si anak, Norma Idrus (arwah) bersetuju untuk mencari wang asalkan cita-cita si anak terlaksana apatah lagi itu juga merupakan impian arwah ayah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Hasil pembiayaan keluarga, Den berangkat ke London pada tahun yang sama bagi mengikuti Diploma di Central School of Fashion dan Southgate Techical Collage dalam bidang rekaan dan potongan.

Tidak ramai anak Melayu berpeluang ke sana ketika itu dan tentunya pelbagai cabaran yang perlu dihadapi olehnya ketika itu. Jika orang lain ke sana dengan bantuan biasiswa dan tajaan, dia pula ke sana dengan wang sendiri.

“Pada sebelah siang saya akan belajar dan malam pula bekerja di restoran McDonalds. Sejam mereka bayar 2 pounds (ketika itu RM7). Setiap hari saya akan pastikan bekerja dalam empat atau lima jam bagi mencari duit poket dan biaya hidup. Rumah sewa perlu dibayar secara mingguan. Kalau saya tak bekerja, macam mana nak bayar?

“Itu belum lagi belanja hari-hari. Mahu tak mahu saya perlu buat sendiri walaupun ada kalanya tak mampu. Penat terpaksa melakukan banyak kerja dalam satu-satu masa,” dedah anak kesembilan daripada sepuluh adik-beradik ini lagi.

Pernah dia menangis apabila jarinya tersepit di pintu lif ketika sedang menolak roti burger dan dia juga tidak akan melupakan kenangan merangkak sendirian dek kerana demam di negara orang. Semuanya dilalui sendirian tanpa kehadiran keluarga di sisi.

Hasil ketabahan, hari ini nama Den Wahab tidak perlu diperkenalkan lagi memandangkan dia sudah berjaya membina empayar sendiri selama lebih tiga dekad dalam bidang rekaan pakaian.

Setiap kali tibanya hari raya tentu sahaja baju-baju rekaan Den menjadi pilihan kebanyakan golongan kenamaan dan artis popular yang sudah menjadi pelanggan setianya.

Populariti di bidang rekaan, menyebabkan dia mendapat peluang untuk dikenali pula dalam bidang seni lakonan. Sejak tahun 1990-an, sehingga kini dia telah membintangi puluhan buah drama dan melalui bidang ini namanya semakin dikenali ramai dan kukuh di persada.

Kehidupan peribadi

MESKIPUN sibuk dengan pekerjaan mereka pakaian, Den bersyukur kerana dapat mengembangkan bakat lakonan sejak tahun 1990-an lagi. Walaupun tidak secara sepenuh masa, ini juga merupakan bidang yang amat digemari selain dapat mencabar potensi diri.

Siapa sangka, dunia lakonan juga yang mempertemukan dia bersama isterinya, Norrassikin Bustaman, 44 tahun pada 1991. Menerusi drama Keruh di Muara, dia telah jatuh hati kepada wanita yang juga merupakan anak kepada pelakon Tamam Idris yang turut sama berlakon ketika itu.

“Nora (panggilan untuk isterinya) memang takut dengan arwah bapanya yang garang. Dahulu kalau ada rakan lelaki yang datang ke rumah, Nora tidak akan mengaku kawannya. Arwah bapa mertua memang garang dengan anak-anak, tapi saya pula tak ada masalah dengan dia.

“Sebelum itu pun saya ada berlakon bersama dengannya. Hubungan tersebut sudah terjalin baik, jadi mungkin itu juga menjadi penyebab mengapa dia tak garang dengan saya,” kata Den dalam ketawa terkenangkan peristiwa tersebut.

Paling diingati apabila ada beberapa rakan artis seperti Raissudin Hamzah dan Ogy (Fauziah Datuk Ahmad Daud) mengusik tentang hubungan mereka. Ada yang ‘membakar’ dan tak kurang juga yang sengaja menimbulkan provokasi tentang cinta mereka di hadapan Tamam Idris.

Daripada sekadar usikan, Den sendiri mula merasa ada cinta dalam hatinya. Saat Nora tiada di depan mata, hatinya mula dipagut rasa rindu dan mula sedar ada kasih sayang antara mereka.

“Saya terus jumpa bapa mertua dan nyatakan hasrat untuk menyunting Nora. Kami bertunang sekejap sahaja dan terus bernikah pada tahun yang sama,” ungkap Den.

Melalui perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan Nur Zahira Natasha, 25 tahun; Batrisya Balqis, 22; Farah Ismahani, 19; Danish Haikal, 15; Haziq Ikram, 14 dan Muhammad Adam Firdaus, 4.

Bina empayar

SEBAIK sahaja menamatkan pelajaran di London, dia bercadang untuk bekerja beberapa bulan lagi memandangkan visanya belum tamat tempoh. Namun ibunya mahu dia pulang segera ke Kuala Lumpur memandangkan perniagaan mereka di Wisma Yakin, Jalan Masjid India lebih memerlukannya.

Sebaik sahaja pulang, abangnya sudah pun menukar nama kedai kepada jenama Den Wahab menggantikan nama Abd Wahab Zakaria ketika itu. Pastinya mereka meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk terus memajukan bisnes keluarga yang sudah berusia puluhan tahun itu.

Pada satu petang dalam tahun 1987, dia menerima kejutan apabila Sudirman Haji Arshad datang bertemu dengannya. Pertemuan itu juga sebenarnya membawa kepada perubahan besar kepada Den selepas itu.

“Bila dia tahu saya baru pulang dari London, dia ada meminta saya membuat baju untuknya. Rupa-rupanya arwah ayah memang rapat dengannya. Baju perkahwinan Sudirman pun ditempah di kedai kami. Bermula dari situ juga dia banyak menggayakan baju yang saya jahit.

“Setiap minggu kami akan berbincang tentang apa rekaan yang akan digunakan. Kalau kain biasa tu tak ada masalah, ada kala Sudirman akan datang dengan membawa pakaian kulit untuk dijahit. Terpaksa pula saya dan pekerja mengubah suai mesin jahit yang hanya sesuai menjahit fabrik sahaja. Memang saya tak dapat lupakan kenangan itu,” tambahnya lagi.

Saat Sudirman diangkat sebagai Penghibur Nombor Satu Asia menerusi Asian Popular Music Arward pada tahun 1989, dalam satu sidang media di Petaling Jaya, nama Den diperkenalkan oleh Sudirman kepada semua tetamu pada hari berkenaan. Bertitik tolak dari situ juga, jenama Den Wahab semakin dikenali ramai dan hubungan baik dengan artis dan wartawan juga semakin rapat.

Menariknya pada tahun yang sama juga Sukan Sea berlangsung di Kuala Lumpur. Mereka memerah idea untuk menghasilkan busana bertemakan bendera Malaysia dan diingati sehingga ke hari ini.

Menggunakan kain sepanjang 120 meter yang ‘diletakkan’ di belakang bahu, tentu sahaja itu bukan satu tugas yang mudah untuk dilaksanakan. Dek kerana kain yang terlalu panjang itu juga memaksa mereka membawa mesin jahit ke Stadium Merdeka yang menjadi tempat acara.

“Susah kalau nak jahit di kedai. Jadi kami ambil keputusan untuk membawa mesin jahit ke stadium dan menjahit di sana lebih memudahkan kerja. Walaupun sukar untuk menyiapkan pakaian tersebut, saya berpuas hati dengan hasilnya. Sampai sekarang baju tersebut masih menjadi sebutan orang. Kalau sebut sahaja baju bendera, orang akan teringatkan Sudirman,” tambah anak kelahiran Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu.

Sumber: http://www.utusan.com.my/hiburan/bawa-mesin-jahit-ke-stadium-1.519504

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.