Graduan jadi usahawan

ADUN Bebar, Mohamad Fakhruddin Mohd. Ariff (kanan) ketika mengadakan lawatan ke tapak bazar selepas merasmikan Penutup Karnival Perniagaan dan Perakaunan KPMIM 2017 di Kolej Profesional Mara, Indera Mahkota. – Foto Muhd Asyraf Sawal

KUANTAN: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mesti berusaha memiliki ilmu keusahawanan jika mereka mahu mencipta pekerjaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata kemahiran dalam bidang keusahawanan penting jika mereka mahu mengubah kehidupan selepas tamat pengajian.

Katanya, ilmu akademik saja tidak mencukupi jika mereka mahu meningkatkan taraf sosio ekonomi keluarga.

Beliau berkata, mahasiswa perlu ada kemahiran dalam bidang keusahawanan kerana bidang itu menjadikan pelajar lebih kompetetif serta berpotensi menjana pendapatan lumayan.

“Banyak IPT menyediakan program keusahawanan yang boleh diikuti pelajar. Latihan itu boleh juga diadakan dalam tempoh singkat, contohnya ketika cuti semester atau hujung minggu.

“Pelajar perlu merebut peluang ini dan menyertai kursus disediakan bagi meningkatkan lagi pengetahuan dalam keusahawanan,” katanya.

Beliau yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Perniagaan dan Perakaunan 2017 di Kolej Profesional MARA (KPM) Indera Mahkota, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah KPM Indera Mahkota, Dr Saadiah Abdul Rahman dan Pengarah MARA negeri, Salemi Yusoff.

Mohammad Fakhruddin turut menasihatkan pelajar supaya memiliki keperibadian tinggi dan berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

Katanya, sikap positif seperti itu penting dalam membantu melahirkan graduan berdaya saing.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2017/08/317041/graduan-jadi-usahawan

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.