Perniagaan kios masih relevan

Gambar Hiasan.

PERNIAGAAN berkonsep kios sering dilihat di pusat beli-belah dan kawasan tumpuan ramai seperti lapangan terbang dan hospital.

Selain saiznya yang kecil memudahkan sesiapa sahaja membeli, perniagaan kios kebiasaannya didatangkan dengan reka bentuk menarik sehingga memukau orang ramai untuk meluangkan masa singgah ke kios tersebut.

Konsep perniagaan seperti ini dilihat menyerlahkan lagi hala tuju usahawan untuk melakukan perincian unik terhadap produk mahupun perkhidmatan yang ditawarkan.

Meskipun trend perniagaan berubah-ubah mengikut arus semasa, namun perniagaan berkonsepkan kios ini mampu bertahan lama kerana sifatnya yang lebih berstruktur, terancang dan mudah ‘disalin’ untuk dikembangkan sebagai cawangan baharu.

Malah, perniagaan berkonsep kios itu juga antara yang menjadi pilihan jenama-jenama terkemuka berkembang dalam industri francais.

Dari segi modal, ia tidak menelan perbelanjaan yang tinggi seperti membuka kedai fizikal, yang sudah tentunya memerlukan kos ubahsuai selepas premis sedia disewa.

Bagi mereka yang baru memulakan perniagaan, perniagaan kios amat sesuai kerana tidak perlu bersusah-susah memikirkan barang niaga, kedai mahupun kelengkapan berniaga.

Ini kerana, kios biasanya didatangkan lengkap dengan pakej seperti kios, barang niaga, kelengkapan, sistem, malah boleh menggunakan jenama syarikat yang membekalkan produk kepada usahawan.

Disebabkan itu, perniagaan kios dilihat mempunyai prospek tinggi dalam pasaran, tidak kiralah sama ada untuk perniagaan makanan dan minuman, pakaian mahupun barangan lain.

Potensi besar model kios

Perniagaan berkonsep seperti kios mempunyai prospek besar dan mampu bertahan jika ia diuruskan dengan baik menerusi penambahbaikan secara berterusan, mengikut trend semasa dalam model perniagaan tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Zulfikri Osman berkata, model perniagaan kios sudah lama bertapak dalam pasaran, bermula dengan konsep pacak tiang dan pasang meja, kini berubah kepada reka bentuk yang menarik.

“Keunikan itu bukan sahaja membuatkan sesuatu jenama kekal lama dalam pasaran, tetapi juga memberikan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada orang lain.

“Namun, usahawan kios perlu sentiasa peka dengan keadaan semasa untuk melakukan penambahbaikan dari segi produk, imej dan mengukuhkan jenama supaya ia terus diterima ramai,” katanya.

Zulfikri berkata, bermula dari 1995 hingga 2010, MARA telah membantu seramai 27,967 usahawan dengan pengeluaran pembiayaan sebanyak RM532.438 juta.

Bermula 2011, katanya, MARA telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) dan sehingga kini seramai 3,468 usahawan menerima pembiayaan berjumlah RM88.608 juta, termasuk usahawan yang menjalankan perniagaan berkonsepkan kios.

“Antara jenama kios terkemuka yang mendapat kemudahan daripada MARA adalah Jeruk Madu Pak Ali, bermula hanya dengan perniagaan kios, sebelum membangunkan kilangnya sendiri. Kini, selepas mempunyai jenama yang kukuh di pasaran, Jeruk Madu Pak Ali kembali membuka model perniagaan kios, sekali gus membuka peluang perniagaan kepada orang ramai.

“Begitu juga dengan jenama My Delicious yang merupakan penerima kemudahan MARA, yang bermula dengan membuka kios kecil menggunakan kayu, tetapi kini sudah mempunyai beberapa cawangan kios di pasar raya besar sekitar Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, jumlah pembiayaan diberikan bergantung kepada keperluan perniagaan usahawan itu sendiri dan kelayakan.

“Bagi mereka yang ingin memohon pembiayaan, individu tersebut perlu sekurang-kurangnya enam bulan berniaga dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ini adalah untuk kami meneliti aliran tunai perniagaan dan daya maju projek sebelum pembiayaan diluluskan,” katanya.

Selain pembiayaan, MARA turut menyediakan program pembangunan usahawan, runding cara, kursus dan bimbingan serta kajian penyelidikan kepada usahawan untuk membolehkan usahawan mengembangkan perniagaan mereka.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/bisnes/perniagaan-kios-masih-relevan-1.722073

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.