KECEMERLANGAN PELAJAR KOLEJ MARA BANTING DIRAIKAN

Kejayaan Pelajar Cemerlang KMB Dirai

PUTRAJAYA, 20 Ogos – Seramai 188 pelajar sesi 2015/2017 Kolej MARA Banting (KMB) menerima Diploma dan sijil masing-masing pada Majlis Graduasi KMB yang ke-25 di Hotel Marriot Putrajaya.

YBhg. Dato’ Hj. Mohamed Roseli Bin Dol, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA telah merasmikan majlis dan menyampaikan Diploma International Baccalaureate (IB) dan Anugerah Kecemerlangan kepada para graduan KMB.

Menurut YBhg. Dato’ Hj. Mohamed Roseli Bin Dol, para graduan lulusan program IB di KMB juga merupakan pelajar-pelajar yang ditaja oleh MARA, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Yayasan Tenaga Nasional serta persendirian, yang mana mereka bakal melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang antaranya bidang perubatan, kejuruteraan, sains ikhtisas, sains gunaan dan senibina.

“Program IB yang berpusat di Geneva, Switzerland merupakan program komprehensif yang menjadi pusat persediaan pelajar untuk menyambung pelajaran ke luar negara seperti Ireland, United Kingdom, Australia, New Zealand, Canada, Amerika, India dan lain-lain” katanya.

Beliau menambah secara keseluruhannya, seramai 196 orang pelajar KMB telah berjaya menempa kejayaan di peringkat antarabangsa dalam peperiksaan IB Mei 2017, iaitu seorang pelajar memperolehi 44 mata dan 32 orang pelajar telah berjaya memperoleh 40 mata ke atas daripada 45 mata penuh.

“Sebanyak 74% daripada keseluruhan pelajar di KMB ini telah melepasi syarat tajaan untuk melanjutkan pelajaran sepenuhnya di universiti-universiti terkemuka di luar negara” ulasnya lagi.

Tambah beliau, keputusan kali ini juga telah melakarkan sejarah yang tersendiri buat KMB dengan peratusan pencapaian yang meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya seterusnya menempatkan KMB antara kolej yang terbaik di dunia dengan purata lulus keseluruhan adalah 98%.

“Tahniah KMB atas pencapaian yang cemerlang dengan purata mata keseluruhan bagi para pelajar IB KMB adalah 37 mata berbanding dengan keputusan purata pencapaian pelajar diploma IB Asia di peringkat dunia adalah sebanyak 29.9 mata” ujarnya.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.