Bekas pelajar bertemu selepas 38 tahun

SEBAHAGIAN daripada bekas tenaga pengajar dan bekas pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM) Tan Sri Yahaya Ahmad, Pekan yang hadir pada Majlis Makan Malam Perdana Jejak Kasih Bersama GuruKu 2017 – Foto Shahrinnahar Latib

PEKAN: Majlis perjumpaan bekas tenaga pengajar dan pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM) Tan Sri Yahaya Ahmad, di sini, meriah dengan kehadiran kira-kira 300 bekas pelajar.

Pengerusi program, Mohd Yasin Daud, berkata pertemuan berkenaan dapat mengubati kerinduan mereka dan bersama-sama mengimbau semula memori zaman berada di institusi kemahiran itu 38 tahun lalu.

Katanya, beliau tidak menyangka majlis berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada bekas tenaga pengajar dan pelajar sehingga ada yang sanggup datang dari jauh.

“Tujuan majlis ini adalah untuk menghimpunkan bekas tenaga pengajar dan pelajar tahun 1979 hingga 1984 daripada seluruh Semenanjung bagi mengeratkan hubungan,” katanya pada Majlis Makan Malam Perdana Jejak Kasih Bersama-sama Guruku 2017 di institut berkenaan di sini, malam tadi.

Katanya lagi, majlis itu juga dijadikan medan bagi mereka mengukuhkan lagi hubungan yang sedia terbina selain merancang program akan datang.

Sementara itu, Setiausaha program, Mohd Zaki Jaffar berkata, penganjur juga mengadakan kutipan derma untuk bekas pelajar yang uzur dan tidak berupaya bekerja bagi meringankan mereka.

“Majlis tahlil juga diadakan bagi bekas tenaga pengajar dan bekas pelajar yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, pihak penganjur berusaha untuk menjejak bekas tenaga pengajar dan bekas pelajar yang masih tidak dapat dikesan melalui media sosial.

“Saya berharap kepada bekas tenaga pengajar dan bekas pelajar boleh menghubungi saya di talian telefon 019-3272604,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/08/314779/bekas-pelajar-bertemu-selepas-38-tahun

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.