Maybank Islamic Bhd Komited Dalam Kerjasama Bersama Yayasan Pelajaran MARA (YPM)

MAYBANK YPM

Pengurusan MARA, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan Maybank Islamic Bhd, bersama anak-anak asnaf YPM yang telah menerima sumbangan pada Majlis Semarak Ilmu 2017 bertempat di International Youth Center, Cheras

Cheras, 18 Ogos – Majlis Penyerahan Dana Semarak Ilmu 2017 (Maybank Islamic Berhad – Yayasan Pelajaran MARA) yang dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Zahida Zarik Khan, Pengerusi Sementara Yayasan Pelajaran MARA pada 18 Ogos 2017 merupakan majlis bagi menandakan jalinan kerjasama strategik antara Maybank Islamic Berhad dan Yayasan Pelajaran MARA bagi tahun 2017 dan kerjasama ini telah bermula semenjak tahun 2013 lagi.

Menurut Pengerusi Sementara Yayasan Pelajaran MARA, melihat impak kepada pelaksanaan program ini, pada tahun 2017, Maybank Islamic Berhad meneruskan lagi kerjasama dalam menjalankan program pendidikan bersepadu bagi membangunkan pelajar-pelajar Islam dalam golongan asnaf fakir dan miskin. Sepanjang penglibatan Maybank Islamic Berhad bermula tahun 2013 hingga 2016, seramai 15,661 pelajar telah menerima manfaat yang melibatkan sumbangan dana sebanyak RM7.4 juta.

MAYBANK YPM 2

Penyerahan cek dari Maybank Islamic Berhad kepada Yayasan Pelajaran MARA

“ Pada tahun ini, MIB sekali lagi mempercayai usaha dan komitmen YPM dengan memberikan sumbangan berjumlah RM1,865,374.58 bagi melaksanakan program Semarak Ilmu 2017. Unjuran pelaksanaan bagi tahun ini bakal menyaksikan seramai 2,425 pelajar akan menerima manfaat dengan seramai 709 mendapat manfaat daripada Skim Anak Angkat. 15 orang pelajar yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi dan 29 pelajar tahfiz akan dibiayai sepenuhnya oleh MIB. Manakala seramai 1,672 pelajar pula mendapat program tuisyen dan kelas bimbingan secara percuma” katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Dana Semarak Ilmu 2017 (Maybank Islamic Berhad – Yayasan Pelajaran MARA) di The International Youth Centre (IYC) yang menyaksikan seramai 100 pelajar hadir bagi menyaksikan majlis penyerahan ini.

“Saya bagi pihak Yayasan Pelajaran MARA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Maybank Islamic Berhad di atas sumbangan ini khusus sebagai dana untuk tujuan pengendalian program Semarak Ilmu 2017. Program kerjasama ini adalah satu usahasama jitu dalam membangunkan masyarakat Islam yang berilmu” katanya.

Advertisements
This entry was posted in Korporat, Lain-Lain, Pelaburan, Pendidikan. Bookmark the permalink.