
Ahmad Nazlan (berdiri, dua kiri) bersama warga emas dan golongan OKU merasai pengalaman menaiki MRT, semalam.
KUALA LUMPUR – Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) menyasarkan kemasukan sekurang-kurangnya 3,000 pelajar baharu bagi pengambilan sesi September ini menerusi program ‘satu rumah satu mahasiswa’.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata, usaha menjejaki bakal pelajar giat dilakukan menerusi pendekatan lawatan ke rumah di seluruh negara.
Menurutnya, pihaknya turut mendapat kerjasama pejabat ahli Parlimen dan ketua Umno bahagian bagi mengenal pasti keluarga yang perlu diberi perhatian.
“Kita mempunyai sembilan kampus di seluruh negara yang mampu menempatkan bakal pelajar ini dalam bidang masing-masing.
“Kita mahu memastikan setiap anak-anak Melayu mendapat pendidikan sewajarnya sekurang-kurangnya satu mahasiswa setiap rumah,” katanya ditemui pada Program Santai Merdeka KPTM Sehati Sejiwa : Apresiasi Tun Razak Bersama KUTPM Bawa OKU dan Warga Emas Menaiki MRT Rasai Pembangunan Negara, semalam.
Kata Ahmad Nazlan, tawaran akan diberikan kepada pelajar berkelayakan termasuk peluang bantuan pelajaran daripada MARA.
“KUPTM sendiri mendapat 2,000 tempat untuk pinjaman MARA jadi tawaran akan diberikan kepada mereka yang layak,” katanya.
Sementara itu, seramai 40 pelajar KUTPM terlibat dalam program yang membawa 20 OKU dari Rumah Taman Sinar Harapan dan 10 warga emas dari Rumah Taman Seri Kenangan menaiki MRT.