Yuran pendaftaran KPTM, KUPTM hanya RM50

Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KPTM)

JERANTUT – Berita gembira buat pelajar lepasan SPM dan STPM daerah ini yang mahu melanjutkan pengajian ke Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) kerana diberikan insentif RM200 seorang ketika mendaftar.

Pengerusi KPTM, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, dengan insentif RM200 itu, ditambah pula dengan insentif pendahuluan dari Mara sebanyak RM1,000, yuran pendaftaran sebanyak RM1,250 hanya jadi RM50.

“Tawaran Mara ini siapa dulu, dia dapat. Anak-anak yang telah daftar dengan kita dan disahkan pendaftaran, dapat surat penerimaan masuk ke kolej kita, maka diberi pendahuluan RM1,000 oleh Mara.

“Di Jerantut ini, mereka yang mendaftar sahaja, kita akan tambah RM200. Ini bermakna untuk anak daerah ini, mereka hanya perlu bayar yuran pendaftaran sebanyak RM50 sahaja dari RM1,250,” katanya.

Menurutnya, tawaran itu diberi kepada mereka terawal yang mendaftar sehingga 10 September ini sahaja, di mana KPTM menyasarkan seramai 3,000 pelajar mendaftar bagi sesi pengambilan kedua ini.

Katanya, insentif RM200 itu atas dasar kesedarannya untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah di daerah ini menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Saya sedar sebagai anak miskin kampung suatu ketika dahulu, dengan dasar pendidikan yang dibuat oleh kerajaan kita, telah mengubah keluarga saya.

“Ini yang kita harus teruskan. Jangan kerana sebab tiada duit, kita tak hantar anak kita sambung pelajaran,” katanya.

Beliau juga berharap ahli parlimen lain dapat contohi apa dilakukannya di Parlimen Jerantut dengan membuat langkah sama bagi memastikan anak-anak Bumiputera tidak tercicir dalam pendidikan.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/yuran-pendaftaran-kptm-kuptm-hanya-rm50-1.715834

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.