Insentif istimewa menanti juara

MAHDZIR KHALID dan P. Kamalanathan beramah mesra dengan atlet kebangsaan dalam Majlis Semarak Kita Juara Atlet Murid Kementerian Pendidikan Malaysia Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/AIZZUL A. MAJID

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Insentif istimewa bakal menanti atlet yang masih di bangku persekolahan dan bergelar guru sekiranya berjaya menggondol pi­ngat emas pada Sukan SEA 2017 (KL2017) yang bakal membuka tirai pada 19 Ogos ini.

Janji tersebut diberikan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mahu melihat warga kementerian itu yang terdiri dalam kalangan pelajar dan guru mengukir kejayaan gemilang di tanah air sendiri.

“Kita memang ada fikirkan tentang perkara tersebut. Sebenarnya tiap-tiap tahun kita ada anugerah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

“Disebabkan Sukan SEA dibuat di Kuala Lumpur, jadi Bahagian Sukan Kementerian sedang memikirkan apakah (ganjaran) paling sesuai untuk diberi sebagai insentif. Saya boleh umum, memang ada insentif, cuma kaedah dan cara pemberian nanti kita maklum kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan pertemuan dengan atlet yang terpilih mewakili negara pada KL2017 di hotel penginapan kontinjen Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, dua timbalannya, Datuk P. Kamalanathan dan Senator Datuk Chong Sin Woon; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad serta Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof.

Menurut Mahdzir, seramai 134 pelajar sekolah serta 15 orang guru terbabit pada temasya dwitahunan itu sebagai atlet dan juga jurulatih.

“Daripada jumlah itu, mereka yang datang dari sekolah sukan Malaysia paling ramai.

“Kedua datang dari sekolah harian, yang ketiga dari sekolah swasta dan yang keempat dari kolej vokesional dan yang ter­akhir iaitu seorang pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara,” ujarnya.

Katanya lagi, pelajar dan guru yang bergelar atlet bakal terlibat dalam 25 sukan sepanjang KL2017.

Antara sukan tersebut ialah akuatik, olahraga, badminton, karate, bola jaring, bola sepak, gimnastik dan skuasy.

Sumber : http://www.utusan.com.my/sukan/insentif-istimewa-menanti-juara-1.512655

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.