MERBOK 8 Ogos – Seramai 1,500 pelajar sekolah menengah di seluruh negeri ini mendapat manfaat daripada Program Jelajah Luar Bandar Mara Negeri Kedah 2017.
Timbalan Pengarah (Khidmat Pengurusan) Mara negeri, Mohd. Azam Jamaluddin berkata, program tersebut memberi maklumat kepada pelajar untuk memasuki pusat pengajian kelolaan Mara peringkat negeri itu dilancarkan pada 24 Julai dan berakhir 1 Ogos lalu.
“Melalui maklumat diberikan itu, pelajar boleh memilih mana-mana pusat pengajian dikendalikan oleh Mara yang disukai untuk melanjutkan pelajaran masing-masing.
“Pelajar boleh memilih untuk belajar di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Kulim, Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kolej Professional Mara (KPM), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan Pusat GiatMara sebagai tempat paling sesuai untuk kejayaan masing-masing,” katanya.
Menurutnya, Kedah terdapat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL – MSI) di Kulim, tiga Institut Kemahiran Mara (IKM) di Alor Setar, Sungai Petani dan Sik dan enam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kubang Pasu, Pendang, Langkawi dan Merbok.
“Pelajar lulusan Mara mempunyai kemahiran secukupnya sekali gus membolehkan mereka ceburi kerjaya masing-masing dengan baik termasuk mereka yang ada ilmu dalam bidang pendidikan aliran kemahiran,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Berkanun Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain ketika merasmikan program itu di IKM Kuala Muda/Yan di sini berkata, langkah Mara memperkenalkan maklumat begini untuk pelajar dari Baling, Sik, Pendang, Langkawi, Bandar Baharu dan lain-lain adalah baik sekali.
Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kedah/1-500-dapat-manfaat-jelajah-mara-1.512695