100 sertai program keusahawanan GSB

Universiti Kebangsaan Malaysia

SUNGKAI – Seramai 100 peserta menyertai program dua hari anjuran pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Graduate School of Business (GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Institut Latihan Statistik Malaysia, di sini.

Program dianjurkan secara kolaborasi bersama Tekun Nasional, SME Corporation Malaysia Berhad, Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu menerima tajaan daripada pelbagai agensi dan syarikat.

Penganjur dalam satu kenyataan memaklumkan, objektif program itu ialah membantu membangunkan kapasiti keusahawanan dalam kalangan rakyat negara ini dengan menggabungkan sesi taklimat keusahawanan, ‘coaching’ oleh pakar dan sesi ‘pitching’ peserta program di hadapan panel juri.

“Peserta akan mempelajari teknik ‘pitching’ bagi mengetengahkan idea perniagaan mereka, sama ada kepada bakal pelabur atau bagi maksud pemasaran dalam masa singkat, iaitu kurang dari tiga minit,” katanya.

Antara penceramah ditampilkan pada program itu ialah Pemenang Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb), Azril Riduan (Usahawan Teknologi Produk Berasakan Batang Pisang – Comgreat Solutions Sdn Bhd) dan penerima Anugerah Usahawan Belia Terbaik Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube 3.0) Pahang serta Ikon Usahawan Belia, Nurliana Muhammad.

“Program ini menyasarkan usahawan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membantu mereka mendapatkan bantuan sokongan perniagaan sama ada dari segi kewangan atau khidmat nasihat daripada saluran yang betul pada satu platform khas.

“Bagi memastikan tujuan program ini tidak berakhir di sini sahaja, peserta juga diberi pendedahan kepada program lanjutan dan latihan perniagaan dari agensi-agensi terlibat melalui sesi taklimat dan gerai pameran disediakan,” katanya.

Sementara itu, penganjur turut menawarkan hadiah wang tunai lebih RM10,000 untuk pertandingan ‘pitching’ pada hari kedua program itu iaitu RM5,000 bagi tempat pertama, RM3,000 tempat kedua, RM2,000 tempat ketiga selain 11 hadiah sagu hati berupa RM200 setiap seorang.

“Seramai 14 peserta dipilih ke peringkat akhir untuk mempersembahkan idea perniagaan masing-masing di hadapan panel juri yang merupakan wakil dari agensi-agensi keusahawanan negara,” katanya.

Majlis penutup dan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengarah Unit Pembangunan Negeri (Upen) Perak, Nor Eni Ismail.

Program itu mendapat sokongan dan tajaan Tekun Nasional, Dagang NeXchange Berhad (DneX), WCE Holdings Berhad, Yusmanida Auto Sdn Bhd, TRIplc Berhad, MMC-Gamuda Joint Venture Sdn Bhd, SME Bank Berhad, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd dan Kenanga Investment Bank Berhad.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/100-sertai-program-keusahawanan-gsb-1.714874

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.