UniKL MSI latih tenaga mahir

Kursus Kejuruteraan Teknologi Reka Bentuk Mekanikal bakal beri impak besar dalam industri

PELAJAR kursus Kejuruteraan Teknologi Reka Bentuk Mekanikal didedahkan dengan kemahiran yang selari dengan keperluan semasa.

PELUANG pekerjaan dalam bidang kejuruteraan termasuk mekanikal dan reka bentuk mekanikal di negara ini amat meluas dewasa ini.

Mengikut data yang dikelu­arkan portal pekerjaan JobStreet.com, sebanyak 2,733 peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan ditawarkan termasuk 1,470 dalam bidang mekanikal serta 484 dalam reka bentuk mekanikal.

Selain itu, pertumbuhan ba­nyak syarikat baharu menjadikan keperluan untuk mendapatkan tenaga kerja dalam bidang itu amat mendesak dan menjanjikan pendapatan yang lumayan.

Menyedari hakikat itu, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) Kulim, Kedah menawarkan kursus Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi (Kepujian) Reka Bentuk Mekanikal sejak September lalu.

Johan Ihsan Mahmood (kanan) bersama Pensyarah Kanan UniKL MSI, Mohd. Suyerdi Omar menunjukkan contoh reka bentuk produk mekanikal menggunakan perisian reka bentuk berkomputer yang dihasilkan untuk program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi (Kepujian) Reka bentuk Mekanikal di universiti itu. utusan/Sazali Che Din

Kursus ini menyediakan graduan dengan pengetahuan serta kemahiran teknikal yang akan menjadi nilai tambah kepada mereka yang berkelulusan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Penekanan juga akan diberi kepada graduan berkaitan sistem reka bentuk dalam bidang mekanikal, pembuatan, semi konduktor, elektronik serta industri minyak dan gas.

Menurut Koordinator Program yang juga Pensyarah Seksyen Me­kanikal UniKL MSI, Johan Ihsan Mahmood, penuntut akan didedahkan dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghasilkan Kejuruteraan Reka Bentuk yang lengkap selari dengan keperluan pasaran.

Katanya, mereka juga diajar untuk menghasilkan rekaan yang boleh dipasarkan serta menepati keperluan semasa selari dengan kos yang yang dikeluarkan.

“Kursus ini selama lapan semester atau empat tahun dengan penekanan diberi bukan sahaja kepada asas kejuruteraan tetapi juga latihan amali yang dijalankan secara berterusan.

“Pada peringkat awal, kursus ini disediakan untuk mendedahkan penuntut kepada asas mekanikal dan pengetahuan berkaitan pembuatan dan pada pertengahannya, kursus rekaan yang spesifik akan diperkenalkan.

“Penuntut akan diberi peluang menggunakan kemahiran yang dimiliki untuk menyediakan rekaan yang bersesuaian dalam projek tahun akhir mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Untuk mengikuti kursus itu, syarat kemasukan adalah Diploma Kejuruteraan atau Teknologi yang diiktiraf dan mereka ini layak dipertimbangkan untuk pindahan kredit sehingga 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kredit.

Selain itu katanya, lepasan matrikulasi, program asasi kejuruteraan dan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga layak untuk memohon untuk mengikuti kur­sus tersebut.

Pelajar yang layak memasuki kursus itu, turut dipertimbangkan untuk mendapat pembiayaan pelajaran daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) asalkan mereka memenuhi sya­rat yang telah ditetapkan oleh MARA.

Johan Ihsan berkata, kursus itu menekankan silibus berkaitan mekanikal sebanyak 24 peratus, manakala reka bentuk (23 peratus), pembuatan (15 peratus), pe­ngurusan dan kepimpinan (14 peratus) serta bahasa, elektrikal, matematik dan latihan industri masing-masing sebanyak enam peratus.

“Jika dilihat silibus ini, ia dianggap lengkap kerana meliputi semua kehendak kursus serta mampu melahirkan graduan yang kompeten serta berdaya saing.

“Satu lagi penekanan yang diberi adalah berkaitan projek tahun akhir yang perlu memenuhi kehendak industri, melibatkan pro­jek rekaan menyeluruh de­ngan memasukkan kiraan serta ilustrasi rekaan serta disokong oleh analisa peralatan yang tepat,” ujarnya.

Sumber : http://m.utusan.com.my/pendidikan/kampus/unikl-msi-latih-tenaga-mahir-1.511196

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.