LAHIRKAN HAIRDRESSER BERTARAF PROFESIONAL AGENDA MARA

ENCIK ZULFIKRI BIN OSMAN, TIMBALAN KETUA PENGARAH (Keusahawanan) MARA MENGGUNTING RAMBUT MODEL SEMASA MELANCARKAN SEMINAR REVOLUSI USAHAWAN BARBER 2017

Kuala Lumpur, 3 Ogos 2017 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah merealisasikan usaha ke arah menggalakkan kerjaya dalam bidang Hairdressing dan Barbering bertaraf profesional dengan memperkenalkan program Hair In Trend 2017 (HIT) bagi memperkasakan tenaga mahir usahawan terutamanya dari luar bandar yang bakal berdaya saing secara komersial.

Bersempena dengan itu, Seminar Revolusi Usahawan Barber 2017 kolaborasi antara MARA dengan Malaysian Bumiputera Barber Association (MBBA) dan Hairdressing Skills Development Association (HSDA) telah diadakan dan ianya menerima lebih 300 penyertaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA Encik Zulfikri bin Osman menyatakan program ini menjadi titik tolak permulaan bagi memberi peluang dan ruang kepada usahawan dan bakal usahawan hairdressing dan barbering dalam usaha melonjakkan statistik usahawan Bumiputera dalam bidang tersebut.

“Program HIT Barber merupakan program pemilihan peserta yang akan membawa mereka untuk mengikuti latihan bersama dengan pakar-pakar dalam industri bermula Ogos hingga November yang selanjutnya melayakkan mereka untuk merebut peluang keemasan yang bertaraf profesional” katanya.

Beliau menambah program yang dibuka permohonannya pada Jun sehingga Julai lalu telah mendapat sambutan hangat terutamanya dalam kalangan remaja berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh MARA di samping mempunyai hasrat untuk memajukan diri dalam bidang keusahawanan.

Menurut sumber dari Malaysia Hairdressing Development Association (MHDA), terdapat sebanyak 40,000 orang hairdresser yang berdaftar di Malaysia yang mana 20% daripadanya merupakan hairdresser Bumiputera. GIATMARA merupakan antara penyumbang dalam industri tersebut dan telah melahirkan lebih 3,000 graduan yang mana sebahagian besar darinya telah berjaya menceburkan diri dalam bidang ini sama ada sebagai pekerja industri, pereka rambut dan yang berkaitan dengannya.

Bergambar bersama dengan Encik Khaljaksa Khalil, Presiden Hairdressing Skills Development Association (HSDA) dua dari kanan, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) dan TN Winda Mohd Tahir, Presiden Malaysian Bumiputera Barber Association (MBBA)

Ahmad Bukhari bin Che Saberi salah seorang peserta program tersebut menyatakan peserta perlu bijak mengambil peluang yang diberikan memandangkan penganjuran program ini bukanlah mudah untuk didapati.

“Kini kerjaya barber bukan sahaja untuk individu mencari rezeki malahan ianya boleh diperluaskan lagi ke peringkat profesional. Justeru, dengan adanya penganjuran program ini ia menjadi platform kepada peserta seperti saya bagi membuktikan kemahiran malahan kebolehan berkomunikasi dengan baik juga merupakan salah satu elemen penting bagi mengembangkan kerjaya saya”katanya.

Hilmie bin Hashim, Setiausaha Malaysia Bumiputera Barber Association (MBBA) berkata senario industri ini masih kurang berkembang dalam kalangan kaum Bumiputera walaupun mereka mempunyai kemahiran tersebut.

“Kurangnya sokongan seperti modal, fasiliti dan latihan insentif dari pihak tertentu maka ianya telah dikuasai oleh kaum lain. Semoga penganjuran program seperti ini akan memberi impak yang besar kepada bakal usahawan dan usahawan barber sedia ada” katanya.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.