JKKK jalani kursus profesional

ISMAIL SABRI YAAKOB (tengah) dan Musa Aman bergambar bersama pemenang Anugerah Desa Perdana Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Kota Kinabalu, semalam. UTUSAN/Irwan Majid

KOTA KINABALU 31 Julai – Sebanyak 13,000 Jawatan­kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bakal menerima latihan pengurusan profesional bermula tahun ini sehingga 2018 bagi meningkatkan keupayaan mereka dalam mentadbir kampung masing-masing.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kursus dikenali sebagai Program Sijil Tadbir Urus INFRA-UniKL itu mengajar setiap ahli JKKK dengan kemahiran pengurusan antaranya pengurusan desa, pengurusan kewangan dan pengurusan keusahawanan.

Katanya, modul pengajaran disediakan khas oleh Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan kerjasama Institut Kemajuan Desa (INFRA), dan setakat ini, seba­nyak 3,000 JKKK telah menghadiri program berkenaan.

“Memandangkan JKKK adalah pemimpin di peringkat paling bawah dan bertanggungjawab kepada masyarakat, maka mereka perlu dibantu untuk meningkatkan kecekapan dan mempunyai ilmu yang luas dalam hal ehwal pengurusan kampung serta pe­ngurusan masyarakat.

“Ini kerana, kejayaan dan kemajuan sesebuah kampung terletak pada kebijaksanaan kepemimpinan, tadbir urus yang efisien serta kerjasama erat setiap masyarakatnya.

“Kursus selama tiga hari ini mendedahkan setiap ahli JKKK kepada modul pengurusan desa, kewangan dan keusahawanan agar mereka mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi dan tidak lagi diperlekehkan,” kata­nya ketika berucap merasmikan Program Sijil Tadbir Urus Desa JKKK Zon Sabah dan Pe­nyampaian Anugerah Desa Perdana Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Majlis tersebut yang dihadiri 500 ahli JKKK dari seluruh Sabah dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, kursus berkenaan turut melibatkan beberapa topik lain iaitu Pelan Strategik Desa, Pemantauan Projek serta Keusahawanan dan Tanggungjawab sebagai penolong Pendaftar Pemilih.

Beliau berkata, Anugerah De­sa Perdana yang telah ditambah­baik sejak diperkenalkan pada 1987 bertujuan melahirkan ma­syarakat desa ya­ng berdaya saing, berinisiatif, berilmu, berdikari ser­ta mempunyai disiplin kerja yang tinggi.

“Melalui aktiviti yang dijalankan, program ini turut menyuburkan semangat patriotisme dan ni­lai-nilai murni dalam kalangan penduduk serta memastikan kelestarian dalam aspek sosial dan kampung,” tambahnya.

Dalam pada itu, Musa ketika merasmikan program itu berkata, JKKK bukan sahaja berperanan sebagai pentadbir kampung, sebaliknya mereka juga adalah wakil kerajaan dalam menjawab segala perkara buruk yang dise­barkan kepada masyarakat oleh pihak berkepentingan.

Tegas beliau, penyebaran tohmahan terhadap kerajaan perlu dibendung, jika tidak, rakyat di akar umbi akan terpengaruh sehingga hilang kepercayaan kepada pemimpin masing-masing.

“Akhir-akhir ini ada pemimpin pembangkang masuk ke kampung-kampung sebar fitnah terhadap kerajaan, macamlah kita tidak pernah membantu rakyat.

“Setiap JKKK perlu tampil ke depan bagi menjawab tuduhan-tuduhan itu kerana mereka dekat dengan masyarakat selain merupakan pemimpin di peringkat ba­wah yang sentiasa mendapat kepercayaan rakyat,” ujar beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jkkk-jalani-kursus-profesional-1.509732

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.